Anda di sini

Pentas separuh akhir ACSJ pada 19 Ogos ini, final di Betong

Advertisement
__alt__
SEMIFINALIS ACSJ KE-4
SEMIFINALIS ACSJ KE-4

SIBU: Anugerah Carta Sapa Juara (ACSJ) edisi ke-4 kembali lagi pada tahun ini untuk menemui peminat lagu Iban di seluruh negeri.

Peringkat separuh akhir ACSJ akan berlangsung pada 19 Ogos bertempat di Lapangan Terbang Lama Kapit, bermula jam lima petang.

Peringkat separuh akhir ACSJ kali ini diadakan bagi memilih lapan lagu terbaik Iban untuk berentap di pentas final yang dijadualkan berlangsung di Betong pada 22 September ini.

Anugerah ini mula diperkenalkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak pada tahun 2014 dan ia dianjurkan dengan kerjasama Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak.

“Penerbit Eksekutif ACSJ 2016 Bana Jimbat berkata pada peringkat separuh akhir, RTM Sarawak juga bekerjasama dengan Borneo Media Solutions, di mana 60 peratus markah lagu yang akan terpilih ke peringkat akhir akan dinilai oleh hakim bertauliah.

“Manakala, 40 peratus markah akan dinilai oleh peminat menerusi undian di dalam majalah rasmi ACSJ 2017 iaitu majalah Senawah yang bermula pada Julai 2017 dan undian akan ditutup pada 30 Julai 2017.

“Undian untuk Kategori Artis Favourite pula akan ditutup pada 31 Ogos 2017,” katanya dalam kenyataan media yang dikirim melalui email kepada Utusan Borneo, kelmarin.

Menurut Bana, penganjuran ACSJ adalah bertujuan mengetengahkan penglibatan para penyanyi, penggubah lagu serta penulis lirik  agar ACSJ mampu menjadi penanda aras kepada Industri Muzik Dayak khususnya Lagu-lagu Iban.

“Di samping itu, ia juga merupakan sebagai tanda pengiktirafan Stesen Radio WAIfm Kuching, Bintulu, Miri dan Sibu terhadap lagu-lagu Iban yang paling popular dalam Carta Sapa Juara WAIfm, Carta Lagu Tebilang Iban (LTI) MIRIfm, Carta Rentak, BINTULUfm dan Carta Hits Lagu-Lagu Iban, SIBUfm  sepanjang  tahun 2016. 

“Objektif utama ACSJ adalah untuk memartabat dan mengiktiraf lagu-lagu Iban dalam industri muzik Sarawak, lantaran ikon kepada industri muzik Iban / Dayak akan lebih dikenali diperingkat global menerusi RTM di samping menggalakkan lebih ramai penulis lirik lagu Iban menggunakan bahasa Iban yang betul dalam ciptaan lagu dan merakyatkan RTM,” katanya lagi.

Sebagai tambahan, beliau berkata, kejayaan anugerah ini sekaligus menjadikan RTM sebagai satu badan penyiar eksklusif untuk lagu-lagu Iban/etnik Sarawak di samping mewujudkan perpaduan dan integrasi kaum yang berteraskan konsep 1Malaysia menerusi industri muzik dan kebudayaan Iban amnya dan juga sebagai satu aktiviti RTM untuk meraikan Ulang Tahun RTM ke-71.

Selain itu, Bana berkata, pada tahun 2016, empat buah stesen RTM Sarawak, (WAIfm Kuching, WAIfm Sibu, WAIfm Miri, WAIfm Bintulu) sekali lagi bergabung menganjurkan ACSJ 2017 peringkat separuh akhir.

“Lagu-lagu yang dipertandingkan adalah lagu-lagu yang pernah menjuarai Carta Lagu di empat stesen RTM SARAWAK dalam tahun 2016,” kata Bana.

Bana memberitahu, ACSJ (peringkat separuh akhir) edisi keempat kali ini akan menampilkan 18 orang semifinalis (12 artis solo dan enam artis berkumpulan) yang pernah menjuarai Carta Sapa Juara WAIfm, Carta LTI MIRIfm, Carta Rentak BINTULUfm dan Carta Hits Lagu Iban SIBUfm sepanjang tahun 2016.

Bagaimanapun, beliau menambah sebanyak tiga orang penyanyi telah menarik diri atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Antara penyanyi yang akan bertanding pada Peringkat Separuh Akhir ACSJ 2017 ialah Amis U menerusi lagunya ‘Letu’, Ben Sawing (Cherita Tua), Eyqa (Padamka Nama Aku), Gagung Kirai (Sepiak Nuan Ukai Aku), James Ruai (Ketegal Danji), Kunatak Band (Kemarau Pengerindu), Laila BJ (Manis Gula Batu), Leez Wita (Ukai Antah Dipilih Nuan), Loudness Empire (Tinggal Kenang), Majestica (Ais ati), Masterpiece (Seiku Dalam Seribu), Melissa Francis (Perasa Ketegal Danji), Shasha Julian (Genselan Pengerindu Nuan), Taju Remaung (Pengerindu Aku Enda Bebagi), Wanddy Ibrahim (Aku Sayau Ke Nuan) dan Watt Rock (Nujah Duri Menasan Puntan).

Justeru, semua peminat lagu-lagu Iban di seluruh Sarawak dan di Kapit adalah dijemput untuk memeriahkan ACSJ 2017 dan kemasukan adalah percuma.

  • oleh
  • Advertisement