Anda di sini

Lelaki rogol anak diarah bela diri

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang berhadapan dengan penjara maksimum 30 tahun atas pertuduhan merogol anaknya, diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di sini untuk membela dirinya pada 29 Ogos.

Hakim Azreena Aziz membuat keputusan itu terhadap tertuduh yang berusia 60 tahun pada Isnin untuk keputusan kes di peringkat akhir pendakwaan.

Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Selain daripada hukuman penjara, tertuduh juga boleh dikenakan tidak kurang sepuluh sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh merogol anaknya yang berusia 17 tahun, pada hujung Mei tahun lalu jam 1 petang di sebuah kampung di Inanam, di sini.

Sepanjang perbicaraan berkenaan, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwaraya Husna Abd Halim memanggil lima saksi untuk memberikan keterangan.

Tertuduh yang mula didakwa pada 13 Februari mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu diperintahkan terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

Advertisement