Anda di sini

Korea Utara tangguh serangan Guam

Advertisement

SEOUL: Pemimpin Korea Utara Kim Jong-un berkata semalam beliau akan menangguhkan pelan serangan misil dekat Guam, tetapi memberi amaran langkah yang amat provokatif itu akan diteruskan sekiranya Washington melakukan ‘tindakan semberono’ lanjut.

Agensi berita rasmi Utara KCNA berkata, Kim diberi taklimat mengenai pelan untuk ‘tembakan menyeluruh’ ke Guam semasa pemeriksaan kelmarin pusat arahan Pasukan Strategik yang bertanggungjawab ke atas unit misil negara bersenjata nuklear itu.

Tetapi Kim berkata beliau akan melihat gelagat kurang bijak orang ‘Yankee’ sebelum membuat sebarang arahan.

“Sekiranya mereka meneruskan tindakan semborono yang amat berbahaya di semenanjung Korea, baharulah Korea Utara akan bertindak seperti mana yang telah diumumkan,” beliau dipetik sebagai berkata.

“Untuk mengurangkan ketegangan dan mencegah konflik ketenteraan berbahaya di semenanjung Korea, adalah perlu untuk Amerika Syarikat (AS) membuat pilihan yang betul terlebih dahulu,” tambah beliau.

Kenyataan Kim dipercayai mengambil kira latihan ketenteraan berskala besar yang diadakan setiap tahun oleh AS dan Korea Selatan yang dijangka bermula akhir bulan ini.

Kenyataan Kim dilihat membuka laluan kepada usaha mengurangkan krisis yang diburukkan retorik antara Presiden AS Donald Trump dan kepimpinan Korea Utara.

Perbalahan mereka baru-baru ini memfokus kepada ancaman Utara untuk melepaskan empat misil melangkaui Jepun ke arah wilayah AS Guam, yang menempatkan beberapa pangkalan tentera strategik.

AS dan Korea Selatan menegaskan latihan bersama tahunan itu adalah bersifat pertahanan semata-mata, dan tidak boleh dikaitkan dengan program misil Utara yang melanggar sejumlah resolusi PBB.

Utara sentiasa mengecam latihan tersebut sebagai latihan provokatif untuk pencerobohan dan pernah menawarkan moratorium ujian lanjut nuklear dan misil sebagai balasan bagi pembatalannya, satu tawaran yang dipromosi sekutu utama China, namun ditolak mentah-mentah Washington dan Seoul.

Pengumuman Kim mencetuskan kegembiraan di Guam di mana pegawai mengakui hampir teruja bahawa Utara telah berundur.

Presiden Korea Selatan Moon Jae-in mengulas semalam bahawa Seoul akan mengelak berulangnya Perang Korea dengan apa cara sekalipun.

“Tindakan ketenteraan di Semenanjung Korea hanya boleh ditentukan oleh Republik KOrea dan tiada sesiapa boleh membuat keputusan untuk melancarkan tindakan ketenteraan tanpa keizinan Republik Korea.

“Tetapi tidak akan ada dialog sebelum Utara menghentikan provokasi nuklear dan misilnya,” tegas Moon.

Moon berkata demikian selepas Setiausaha Pertahanan Jim Mattis dan Setiausaha Luar Rex Tillerson menulis kolum pendapat dalam The Wall Street Journal yang menegaskan AS langsung tidak berminat dengan perubahan rejim di Pyongyang.

“Kami tidak mencari alasan untuk menempatkan tentera AS utara Zon Tanpa Tentera.

“Kami tidak ingin membahayakan rakyat Korea Utara yang sudah lama menderita, yang berbeza daripada rejim ganas Pyongyang.”

Mattis dan Tillerson menyeru China yang juga rakan dagangan utara Korea, untuk mengambil peluang mengenakan pengaruhnya ke atas Pyongyang dan menundukkan negara jirannya yang degil itu. — AFP

Advertisement