Anda di sini

Kadar hujan luar biasa punca banjir kilat di Sabah

Advertisement
 Murid-murid SRK Darau Menggatal membersihkan sekolah mereka yang teruk dilanda banjir berikutan hujan semalam. — Gambar Bernama
BANJIR KILAT: Murid-murid SRK Darau Menggatal membersihkan sekolah mereka yang teruk dilanda banjir berikutan hujan semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Kadar hujan luar biasa yang turun sejak dua hingga tiga hari lepas dikenal pasti sebagai punca kejadian banjir kilat yang melanda banyak kawasan di sekitar bandar raya Kota Kinabalu dan daerah sekitarnya.

Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Yeo Boon Hai berkata, berdasarkan data yang diperoleh daripada Jabatan Meteorologi Malaysia di Sabah, kadar hujan pada tempoh itu ialah antara 86 milimeter (mm) sehari hingga 135mm sehari.

“Biasanya kadar hujan (normal) ialah antara 30mm hingga 50mm sehari. Tetapi dalam dua, tiga hari ini ia (kadar hujan) menjangkau 86mm ke 135mm sehari. Disebabkan terlalu banyak air, kawasan kita tidak dapat menampung air berkenaan menyebabkan berlakunya banjir kilat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Edward Yong Oui Fah serta Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Menurut Yeo yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kota Kinabalu, Bilik Gerakan Bencana Daerah yang diaktifkan sejak kelmarin menerima 50 panggilan daripada orang ramai termasuk dari luar daerah Kota Kinabalu seperti Penampang, Tuaran malah Sandakan.

 Katanya, daripada jumlah berkenaan, 29 panggilan adalah berkaitan premis dilanda banjir sementara selebihnya berkaitan dengan jalan raya terjejas banjir, parit tersumbat serta pelbagai aduan lain.

Sementara itu, beliau berkata berdasarkan maklumat yang diterima daripada Jabatan Meteorologi, kadar hujan yang akan turun sehingga Jumaat dijangka pada kadar luar biasa dan fenomena berkenaan  berpunca daripada perubahan corak arah tiupan angin.

Justeru, beliau menasihatkan anggota masyarakat agar lebih berwaspada terhadap keadaan cuaca sekarang yang dijangka berterusan hingga Jumaat.    

Yeo juga berkata, pihaknya akan menguatkuasakan Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara yang membolehkan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kota Kinabalu untuk memasuki mana-mana kawasan tanpa perlu meminta kebenaran daripada pemilik kawasan berkenaan.

Sementara itu, Yong berkata berdasarkan data yang diterima daripada pihak yang bertanggungjawab  menyelenggara sistem perparitan di sekitar DBKK, pihaknya mendapati perparitan diselenggara dengan baik.

Berkenaan dengan pelan jangka panjang menyelesaikan banjir kilat di kawasan Kota Kinabalu dan Penampang, Yong berkata, kerajaan persekutuan sudah meluluskan beberapa projek tebatan banjir di Sungai Moyog di Penampang, Lido dan Menggatal.

Katanya, peruntukan dua fasa projek tebatan banjir Sungai Moyog yang bernilai RM281 juta dijangka siap dalam tempoh tiga hingga tiga setengah tahun akan datang manakala projek di Lido dan Menggatal yang masing-masing bernilai RM76 juta dan RM36 juta masih dalam proses tender. — Bernama

Advertisement