Anda di sini

Dua penjaga kaunter mengaku bersalah miliki tiket loteri haram

Advertisement

MIRI: Dua penjaga kaunter masing-masing didenda RM3,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah atas tuduhan memiliki tiket-tiket loteri haram.

Lee Soon Heng, 29, dari Jalan Airport dan Valerie Vverenai Sagging, 20, dari Taman Tunku di sini telah didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh didapati ada memiliki sehelai kertas tercatat nombor ekor haram yang berangka 10,000 sebagai loteri awam haram.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.25 petang, 12 Ogos lalu di sebuah premis di Pusat Komersil Morsjaya di sini.

Menurut keterangan kes, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis telah membuat pemeriksaan ke atas premis tersebut kerana disyaki ada menjalankan kegiatan penjualan loteri haram.

Dalam pemeriksaan itu, polis telah menahan seorang lelaki dan seorang wanita yang mengaku sebagai penjaga kaunter di premis berkenaan.

Semasa tangkapan dilakukan, polis turut merampas dua unit telefon bimbit, dua unit pencetak mudah alih, sehelai kertas putih tercatit nombor ekor haram, satu unit kalkulator, dua batang pen dan wang tunai RM299 untuk dijadikan barang kes.

Pendakwaan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie.

Advertisement