Anda di sini

10 rumah dibaik pulih menerusi projek ‘Touch Point 2017’ di Parlimen Ranau

Advertisement
 Ruji turut membantu memasang papan lapis ketika baik pulih rumah di Kampung Lohan Ulu.
TITIK SENTUHAN: Ruji turut membantu memasang papan lapis ketika baik pulih rumah di Kampung Lohan Ulu.

RANAU: Sebanyak 10 keluarga yang berdaftar dengan e-Kasih menerima bantuan Program Baik Pulih Rumah menerusi Projek ‘Touch Point 2017’ di beberapa kampung di DUN Kundasang, Paginatan dan Karanaan dalam kawasan Parlimen Ranau.

Program itu merupakan projek kerajaan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang dilaksanakan secara gotong-royong membaik pulih rumah keluarga terpilih dan perlu disiapkan mengikut hari dan tarikh yang ditentukan iaitu tiga hari dengan hasil kerja yang berkualiti.

Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Ruji Ubi berkata, Program Baik Pulih Rumah menerusi projek Touch Point 2017 itu membantu 10 keluarga yang berdaftar dengan e-Kasih.

“Melalui program ini, kerja baik pulih rumah dilakukan secara bergotong-royong melibatkan penduduk kampung dengan kos sehingga RM10 ribu untuk setiap rumah.

“Para pemilik rumah terlibat adalah terdiri daripada kalangan keluarga yang berdaftar dengan e-Kasih. Mereka turut diberi bantuan keperluan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan pelaksanaan projek itu di Kampung Napong 1 dan Kampung Lohan Ulu, di sini.

Projek baik pulih rumah melibatkan aktiviti menggantikan atap dan dinding rumah bermasalah (bocor dan usang) serta mengecat dinding rumah yang kusam.

Ruji berkata, program itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban rakyat terutama keluarga yang layak menerima bantuan e-Kasih.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin dan konsisten dalam memberi khidmat kepada rakyat melalui pelbagai program pembangunan terutama membantu golongan yang amat memerlukan.

Justeru, katanya, rakyat seharusnya bersyukur serta terus memberi sokongan penuh kepada kerajaan yang ada sekarang untuk memastikan kesinambungan pembangunan demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Advertisement