Anda di sini

RISDA disaran bantu usahawan pasar produk secara atas talian

Advertisement
 Yahya (tiga kanan) menyampaikan replika cek peruntukan Program Pembangunan Usahawan RISDA Sabah bagi tahun ini kepada Maizal.
PERUNTUKAN: Yahya (tiga kanan) menyampaikan replika cek peruntukan Program Pembangunan Usahawan RISDA Sabah bagi tahun ini kepada Maizal.

KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) disaran supaya dapat membantu semua usahawan bimbingan agensi itu memasarkan produk melalui aplikasi ‘online’ agar produk mereka mampu bersaing di masa hadapan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Yahya Hussin berkata, penggunaan Internet dan perniagaan online yang efektif akan mampu melebarkan pemasaran dan perniagaan usahawan RISDA.

“Untuk menjadi usahawan yang maju dan berdaya saing, semua usahawan perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta cara pemasaran terkini yang diamalkan oleh ramai pengusaha yang berjaya. 

“Penghasilan produk yang bermutu dan kos pengeluaran yang rendah akan membantu usahawan untuk menghasilkan produk yang kompetatif berdaya saing di dalam dan juga di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan RISDA peringkat negeri Sabah 2017 di Dataran Deasoka, pagi Ahad.

Yahya berkata, teknik pembungkusan dan pelabelan terkini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan untuk menarik pelanggan sama ada dalam mahupun luar negara. 

Selain itu katanya, usahawan RISDA di negeri ini juga haruslah mengambil peluang dalam program yang ditawarkan Risda seperti Program Groom Big dan Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

“Program Groom Big yang diperkenalkan oleh RISDA ini bakal melahirkan lebih ramai usahawan yang berpotensi untuk memajukan perniagaan dengan mencapai hasil jualan tahunan melebihi RM200,000.

“Selain itu, SDSI pula dapat memperkukuh masyarakat setempat dengan aktiviti sosioekonomi yang berdaya maju serta mencipta identiti sesebuah daerah melalui produk atau perkhidmatan yang mempunyai nilai ekonomi dan berdaya saing,” katanya.

Jelasnya, ia adalah konsep berpersatuan dan kemasyarakatan agar sama-sama bekerjasama membantu memajukan perniagaan di bawah satu industri.

Sehubungan itu, katanya, adalah wajar semua usahawan pekebun kecil merebut peluang berkenaan bagi menambahkan lagi rangkaian perniagaan dan pemasaran masing-masing.

Seiring dengan usaha itu, Yahya berkata RISDA tahun ini dilihat lebih merangka program pembangunan keusahawanan bagi meningkat kualiti hidup pekebun kecil selain bergantung kepada komoditi getah dan sawit sahaja.

“Saya lihat banyak persediaan untuk menyeimbangkan pendapatan dilaksanakan RISDA agar pekebun kecil lebih selesa dengan memperoleh sumber pendapatan kedua. 

“Usaha ini dilaksanakan melalui beberapa langkah dan inisiatif oleh Risda seperti memperuntukan RM27 juta untuk aktiviti merangkumi Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), pembangunan produk, pembangunan premis perniagaan, aktiviti pemasaran, pameran, promosi dan membina jaringan strategik dengan agensi berkaitan,” katanya.

Mengenai karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas pula, beliau menyeru para usahawan agar dapat memanfaat sepenuhnya dalam semua aspek keusahawanan agar dapat melangkah lebih jauh lagi dalam bidang perusahaan masing-masing. 

Yahya juga memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan sentiasa membantu dan bekerjasama dengan RISDA untuk meningkatkan hasil perniagaan usahawan di negeri ini.

Seramai 35 usahawan bimbingan RISDA dari pelbagai perusahaan dan 10 agensi lain terlibat dalam mengadakan pameran dan jualan sempena karnival berkenaan.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA Nasarudin Malek, Ahli Pihak Berkuasa RISDA Mohd Zahari Mohd Zinin, Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan Halimah Abdul Kadir dan Pengarah RISDA negeri Sabah Maizal Hakiman Nawawi.

Advertisement