Anda di sini

Restoran Turki di Burkina Faso diserang

Advertisement
 Anggota polis Burkina Faso menjalankan siasatan di sekitar restoran Istanbul di Ouagadougou, semalam susulan serangan malam kelmarin. — Gambar AFP
KACAU LAGI: Anggota polis Burkina Faso menjalankan siasatan di sekitar restoran Istanbul di Ouagadougou, semalam susulan serangan malam kelmarin. — Gambar AFP

OUAGADOUGOU: Sekurang-kurangnya 18 mati termasuk warga asing dan kira-kira 12 lagi cedera dalam serangan teroris disyaki didalangi puak pelampau ke atas sebuah restoran Turki di ibu negara Burkina Faso, menurut kerajaan semalam.

Dua daripada penyerang turut dibunuh anggota keselamatan yang menyerang balas susulan serangan malam kelmarin ke atas restoran yang popular kalangan warga asing itu, menurut Menteri Penerangan Remis Dandjinou yang tidak menyatakan jumlah penyerang.

Operasi keselamatan telah berakhir tetapi usaha memburu suspek masih berterusan di bangunan sekitar kawasan kejiranan Ouagadougou di sekeliling tempat kejadian, menurut Dandjinou pada taklimat media awal semalam dalam media sosial.

Restoran Istanbul itu cuma 200 meter dari hotel dan kafe yang disasari dalam serangan pada Januari tahun lepas yang menyaksikan 30 maut dan 71 cedera, kebanyakannya warga asing, yang diakui kumpulan Al-Qaeda di Maghreb Islam (AQIM).

Kenyataan kerajaan menggambarkan serangan terbaharu sebagai serangan teroris, manakala Presiden Roch Marc Christian Kabore mengecamnya sebagai serangan keji yang menyebabkan Ouagadougou berkabung.

“Usaha melawan terorisme adalah satu perjuangan jangka masa panjang,” menurut mesej Twitternya.

Seorang pegawai polis memetik saksi sebagai berkata bahawa sekurang-kurangnya dua penyerang bermotosikal tiba sekitar jam 9 malam waktu tempatan Ahad bersenjatakan Kalashnikovs lalu melepaskan tembakan di tempat kejadian.

Seorang pelayan mendakwa melihat tiga lelaki menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda tiba setengah jam kemudian, turun dari kenderaan tersebut dan melepaskan tembakan ke arah pelanggan yang duduk di kawasan teres premis.

Dandjinou terdahulu mendakwa penyerang menahan beberapa tebusan dan telah membebaskan sebahagian daripadanya tetapi tidak menjelaskan lanjut.

Beliau berkata, 18 mangsa terbabit meliputi warga tempatan dan warga asing.

Turki mengesahkan seorang rakyatnya mati, manakala pendakwa raya Perancis menyatakan sekurang-kurangnya seorang rakyat mereka mati dalam serangan itu yang dikecam President Perancis Emmanuel Macron sebagai serangan teroris.

Pasukan keselamatan menyerang balas sekitar jam 10.15 malam waktu tempatan, menyasari penyerang yang bersembunyi di dalam bangunan, kata pegawai polis.

Tembakan pada mulanya bertubi-tubi sebelum beransur-ansur berkurangan, kata wartawan AFP di tempat kejadian.

Rakaman video Twitter menunjukkan orang ramai melarikan diri ketika suasana huru-hara dengan bunyi pekikan dan tembakan.

Pegawai berseragam berat dan bersenjata kemudian dilihat berjalan ke arah tempat kejadian.

Pertempuran tamat sekitar jam 5 pagi semalam, menurut wartawan AFP yang berada dekat tempat kejadian.

Mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke hospital Yalgado Ouedraogo.

“Kami kekurangan kakitangan setelah menerima kira-kira 12 mangsa cedera, tiga daripadanya telah mati.

“Keadaan mangsa lain kini kritikal dan tiga daripadanya kini dibedah,” kata seorang pakar bedah di hospital tersebut.

AQIM menamakan tiga penyerang bertanggungjawab dalam serangan itu,  mener-bitkan foto mereka berseragam celoreng dan membawa senjata api. — AFP

Advertisement