Anda di sini

Peluang untuk PATI berakhir hari ini

Advertisement

KOTA KINABALU: Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah (Program Rehiring Sabah 2017) akan berakhir hari ini dan tidak akan dilanjutkan, kata Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Musa Sulaiman.

Beliau berkata program bertujuan memberi peluang kepada PATI yang bekerja secara haram di Malaysia, khususnya di Sabah, diberikan permit kerja sah itu telah dilaksanakan selama enam bulan mulai 15 Feb dan diurus oleh syarikat Inti Padu Technology Sdn Bhd, syarikat yang dilantik kerajaan negeri.

“Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan majikan untuk mengambil peluang mendaftar pekerja mereka selagi masih ada masa. Ini kerana, selepas ini (program tidak dilaksanakan), Jabatan Imigresen mempertimbang untuk mengambil tindakan tegas terhadap majikan jika didapati masih melindungi pekerja atau menggaji pekerja tanpa pas sah,” katanya padasidang media di sini semalam.

Musa berkata, hanya terdapat 1,088 pekerja asing didaftarkan oleh majikan di bawah program itu sejak ia dilaksanakan, jauh daripada sasaran awal sebelum ini iaitu 50,000 orang.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat semakan dan mengenal pasti punca program itu tidak mendapat sambutan dalam kalangan majikan di Sabah.

Dalam perkembangan berkaitan, Musa berkata pihak berkuasa negeri telah bersetuju dan membuat keputusan untuk menambah baik peraturan pengambilan pekerja asing di negeri ini merangkumi pelanjutan syarat had umur sehingga 60 tahun bagi permohonan baharu dan lanjutan Pas Lawatan Kerja Sosial (PLKS) di semua sektor.

Menurutnya, tempoh perkhidmatan pekerja asing juga dilanjutkan daripada tempoh maksimum 10 tahun kepada 15 tahun.

Kedua-dua peraturan ini berkuat kuasa serta-merta, katanya.

Sementara itu, Musa berkata pihaknya telah memeriksa seramai 23,563 individu menerusi 793 operasi yang dijalankan di seluruh negeri dari 1 Jan hingga 31 Julai lepas.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 2,738 individu ditangkap kerana melakukan kesalahan antara lain tidak memiliki permit sah, tinggal lebih masa, melanggar syarat pas dan dokumen palsu.

Menurutnya, seramai 60 majikan turut ditahan untuk siasatan lanjut kerana didapati melakukan kesalahan menggaji pekerja asing tanpa pas sah serta melindungi PATI. — Bernama

Advertisement