Anda di sini

Mahkamah Tinggi benarkan rayuan pemandu lori berhubung caruman KWSP

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan rayuan seorang pemandu lori untuk mencabar keputusan Mahkamah Sesyen menolak saman pemula terhadap bekas majikannya kerana tidak mencarum dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berasaskan  pembayaran balik perjalanan.

Dalam membenarkan rayuan S.Maniam, Hakim S. Nantha Balan berkata, ‘pembayaran balik perjalanan’ itu tidak selari dengan definisi KWSP bagi elaun perjalanan, yang melibatkan bayaran perbelanjaan berkaitan dengan perjalanan semasa bertugas bagi majikan.

“Tiada penjelasan daripada KWSP dalam afidavit mereka tentang kenapa mereka mengabaikan definisi ‘elaun perjalanan’ mereka sendiri.

“Akta KWSP adalah penggubalan undang-undang sosial, jadi sebagai penjaga dan pihak yang bertanggungjawab menguatkuasakan Akta KWSP, ia harus berhati-hati dengan label mengelirukan dan penjelasan diri yang mudah oleh para majikan yang berusaha menghasilkan label kreatif untuk ‘membungai’ bayaran yang dibuat kepada para pekerja mereka dengan niat bahawa pembayaran itu tidak akan menarik caruman KWSP,” katanya.

Menurut hakim itu, penggunaan label yang banyak itu sendiri seharusnya meletakkan KWSP dalam keadaan berhatti-hati kepada kemungkinan majikan telah membungai komisen sebagai apa yang dipanggil ‘pembayaran balik perjalanan’ sedangkan yang sebenarnya  ia bukannya pembayaran balik atau elaun perjalanan ataupun lebih masa.

Mahkamah juga membenarkan rayuan Maniam untuk mendapatkan bayaran dengan tarikh yang dikebelakangkan sebanyak RM12,791 daripada bekas majikannya Cold Chain Network Sdn Bhd (CCN) berdasarkan perjalanan yang dibuatnya semasa bekerja di syarikat itu dari Julai 2010 sehingga Ogos 2013.

Menurut hakim itu, insentif berkenaan adalah sebahagian daripada pendapatan yang caruman kepada KWSP di bawah Akta KWSP.

Mahkamah juga memberi award RM3,000 sebagai kos kepada Maniam.

Maniam, 58, memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen  terhadap Cold Chain Network (CCN) dan KWSP sebagai defendan pada Julai 2016, bagi mendapatkan perisytiharan bahawa RM12,791 berada di bawah takrif ‘upah’ mengikut Seksyen 2 Akta KWSP dan Seksyen 2 Akta Pekerjaan 1955 dan satu perintah supaya CCN mencarum dengan KWSP ke atas komisen itu kepada KWSP.

Bagaimanapun, pada 9 Dis, 2016, Mahkamah Sesyen telah menolak samannya atas alasan bahawa KWSP telah menyiasat dakwaannya dan mahkamah tidak mempunyai alasan untuk campur tangan dalam dapatan itu.

Pada 28 April, 2017, Maniam memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan Mahkamah Sesyen itu.

Maniam diwakili peguam New Sin Yew, manakala CCN diwakili Nik Erman Nik Roseli dan Syafiq Faizal  bertindak untuk KWSP. — Bernama

Advertisement