Anda di sini

Lelaki culik, rogol, bunuh budak dihukum mati

Advertisement

SANAA: Penduduk Yaman berkumpul semalam di ibu negara yang dikawal pemberontak untuk menyaksikan hukuman mati seorang lelaki yang disabit merogol dan membunuh seorang kanak-kanak dalam pelaksanaan hukuman di khalayak ramai yang kedua seumpamanya sejak beberapa minggu lalu.

Hussein al-Saket, 22, didapati bersalah menculik, merogol dan membunuh budak perempuan berusia empat tahun itu yang kemudian ditanamnya di satu lokasi, menurut Rajeh Ezzedine, hakim yang menyaksikan pelaksanaan hukuman tersebut.

Ali Ayedh, bapa saudara mangsa, Saket menyertai operasi pencarian mangsa sebelum perbuatannya terbongkar semasa siasatan polis.

Dia berkata, pelaksanaan hukuman di khalayak ramai itu akan menjadi satu pengajaran buat penjenayah.

Saket ditelungkup di atas Dataran Tahrir di Sanaa yang dikawal pemberontak Huthi Syiah sejak 2014.

Seorang anggota polis menembaknya dari belakang dengan lima peluru menyasari jantungnya, sebelum mayatnya digantung pada kren.

Pada 31 Julai lalu, seorang lelaki berusia sekitar 30-an dihukum dengan cara yang sama di dataran tersebut selepas disabit merogol dan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun. — AFP

Advertisement