Anda di sini

Kembangkan Kecerdasan Otak Anda

Advertisement

Semasa saya di IMD Switzerland tidak berapa lama yang lalu, saya bertemu dengan seorang penyelidik otak yang bernama Terry Small. Dia mengemukakan satu soalan yang sangat menarik: "Apakah bahagian badan anda yang paling penting untuk kepimpinan?"

Dengan segera saya menjawab: "Otak." Emosi, intelek, pengetahuan dan kepakaran kita semuanya tersimpan di dalam otak. Dia menjawab: "Tepat sekali!" Kemudian dia bertanyakan soalan kedua: "Jadi, jika otak anda kritikal untuk kejayaan kepimpinan, berapa banyak buku tentang otak yang sudah anda baca?" 

Saya terdiam. Betul juga katanya. Jika otak sangat penting bagi kepimpinan, mengapa pemimpin tidak lebih berminat untuk mengetahui bagaimana untuk membangun dan mengembangkan otak yang sihat? Dengan itu, bermulalah eksplorasi saya terhadap otak dan kepimpinan.

Bahagian otak dan fungsi masing-masing

Otak terlibat dalam semua yang kita lakukan. Dalam buku Primal Leadership: Realizing the Power of Emotional Intelligence (Kepimpinan Primal: Menyedari Kuasa Kecerdasan Emosi), Goleman, Boyatzis dan McKee menunjukkan bahawa biasanya pemimpin-pemimpin dilantik semata-mata atas dasar keupayaan kecerdasan intelek (Intelligence Quotient, IQ) dan teknikal mereka, tetapi mereka kekurangan kecerdasan emosi (Emotional Quotient, EQ) untuk memimpin secara efektif. Mereka berpendapat bahawa pemimpin yang mampu melaksanakan sesuatu dengan baik patut mempunyai kedua-dua tahap EQ dan IQ yang tinggi. Kedua-duanya ada kaitan secara langsung dan dikawal oleh otak. Sistem limbic di dalam otak mengawal emosi, gerak hati dan desakan,  manakala neokorteks (otak berfikir) adalah bahagian di dalam otak yang mengurus IQ, pengetahuan dan pembelajaran.

Emosi manusia dikawal oleh otak dan merebak secara berkarisma apabila orang berhampiran antara satu sama lain, walaupun tanpa hubungan lisan. Apabila pemimpin mengambil bahagian dan berhubung dengan emosinya, pengikut mereka dengan mudah menjadi harmoni dengan idea-idea pemimpin tersebut, dan akhirnya dapat 'menangkap' perasaan hati pemimpin. Pemimpin yang bertenaga tinggi dan positif seperti Richard Branson dengan mudah memindahkan optimisme mereka kepada pengikut mereka, manakala yang bersifat negatif melemahkan pekerja mereka.

Sebaliknya, apabila seorang pemimpin merasakan ancaman atau mengalami tekanan, otak mereka bertindak dengan cara yang berbeza dan satu 'rampasan amygdala' (amygdala ialah bahagian otak yang mengesan ketakutan dan bersedia untuk kecemasan) akan berlaku, di mana kita bertindak mengikut gerak hati dan bukannya kewarasan. Seseorang dengan kecerdasan emosi yang tinggi membatalkan rampasan ini tetapi otak yang tidak ‘terlatih’ akan mengakibatkan satu 'rampasan amygdala' dan reaksi menentang kemajuan.

Baru-baru ini saya telah  menulis tentang 'keberanian kata hati' dan bagaimana kebijaksanaan dan pengalaman hidup kita disimpan oleh otak dan ia boleh diperoleh semula apabila kita menghadapi sesuatu situasi kecemasan yang kompleks. Pemimpin-pemimpin bertaraf dunia belajar untuk membangunkan 'keberanian kata hati' mereka dengan menguruskan bahagian otak yang beremosi yang dikenali sebagai ganglia basal (kumpulan sel saraf yang mengkordinasi gerakan badan).

Lebih banyak digunakan, lebih tajam ia menjadi

Menariknya, otak kita sebenarnya menjadi lebih baik jika kita banyak menggunakannya. Sama seperti tubuh kita - lebih banyak anda menggunakannya, lebih lama ia bertahan. 

Sejak tahun 1986, ahli sains David Snowdon menjalankan kajian ke atas 678 orang biarawati di Mankato memandangkan ramai yang hidup melebihi 100 tahun. Dia mengumpul data, menguji mereka dan membedah otak mereka yang meninggal. Antara penemuan-penemuan Kajian Biarawati ini termasuklah:

  • Kehidupan intelektual yang aktif memanjangkan jangka hayat otak dan melindungi seseorang daripada mengidap penyakit Alzheimer (penyakit penurunan fungsi dan daya ingatan otak).
  • Mereka yang menunjukkan emosi yang paling positif dalam bahasa mereka akan hidup lebih lama.
  • Otak mengekalkan kapasiti untuk berubah dan menjadi lebih kuat walaupun di kalangan orang tua.
  • Mereka yang mengajar dan sentiasa mencabar minda mereka akan hidup lebih lama daripada mereka yang tidak melakukan sedemikian.
  • Ikatan yang kuat membangunkan kecerdasan emosi yang positif yang membawa kepada pemikiran yang lebih tajam.

Selepas kematian mereka, ahli-ahli sains terkejut melihat bahagian otak yang biasanya kecut mengikut usia tidak berlaku pada otak-otak biarawati Mankato.. Bagaimana biarawati-biarawati ini mampu kekal tajam dan produktif walaupun sudah berumur lebih daripada 100 tahun?

Para penyelidik mendapati bahawa stimulasi intelektual selama hanya 20 minit sehari boleh merangsang pertumbuhan neuron baharu. Senaman-senaman otak adalah norma bagi biarawati-biarawati ini, yang hidup dengan prinsip bahawa 'minda yang terbiar adalah taman permainan syaitan'. Mereka menulis meditasi kerohanian dalam jurnal, surat-surat kepada ahli-ahli politik dan sering mencabar diri mereka melalui kuiz, teka-teki, dan perbahasan mengenai peristiwa-peristiwa semasa.

Perubahan dan cabaran mendesak perkembangan otak 

Otak anda mempunyai kapasiti untuk terus bertumbuh dan berkembang. Otak yang bertumbuh terus menguasai kecekapan-kecekapan kepimpinan - daripada keyakinan diri dan pengambilan keputusan kepada empati dan pujukan, sehingga kepada menjalankan mesyuarat-mesyuarat yang effektif – sampai ia menjadi dengan baik.

Otak kita hidup berkembang maju dengan adanya perubahan dan cabaran. Tetapi dalam kebanyakan kes, orang menentang perubahan kerana perubahan biasanya mendatangkan kesakitan. Fungsi utama otak adalah untuk memastikan anda hidup dan melawan kesakitan. 

Secara umumnya, otak menolak kembali apabila diarahkan untuk melakukan apa yang perlu. Hal ini disebabkan oleh homeostasis, iaitu pergerakan organisma ke arah keseimbangan tetapi menjauhi dari perubahan yang diarahkan. Sebaliknya, otak anda akan melepaskan neurotransmiter adrenalin (penghantar neuron atau penghantar impuls)  dengan segera apabila anda memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah sendiri dan bukannya diberitahu tentang bagaimana ia  diselesaikan oleh bos anda.

Apabila saya pulang ke Malaysia lebih 10 tahun yang lalu dan membantu dalam pemulihan sebuah organisasi, salah satu kaedah yang kami kerahkan adalah menjalankan tindakan makmal mini di mana para pekerja diberi peluang untuk menyelesaikan masalah, memberi cadangan dan melaksanakan penyelesaian. Hasil daripada  penglibatan para pekerja yang tinggi, pemulihan berlaku dengan pantas dan bersahaja dalam masa yang singkat.

Bandingkan hal ini dengan pelbagai cubaan pemulihan apabila ketua pegawai eksekutif datang memerintah dan menentukan terma perubahan. Biasanya, terdapat halangan yang besar terhadap perubahan dan kegagalan. Pemimpin yang memanfaatkan kuasa otak akan memahami keperluan bagi penglibatan dan penyertaan pekerja dalam apa-apa usaha perubahan.

Empati dan kecerdasan sosial pendekatan kepimpinan ke hadapan

Ramai pemimpin masih berpegang kepada pepatah lama kepimpinan melalui arahan dan kawalan. Sebaliknya, empati dan kecerdasan sosiallah yang merupakan jalan ke hadapan. Neuron otak yang baru ditemui, yang dipanggil neuron cermin, membolehkan pemimpin mempelajari empati.

Neuron cermin ditemui secara tidak sengaja oleh pakar sains neuro  Itali ketika memantau otak seekor monyet.  Ia menunjukkan bahawa otak mempunyai neuron yang mencerminkan apa yang orang lain lakukan. "Apabila kita secara sedar atau tidak sedar mengesan emosi orang lain melalui tindakan mereka, neuron cermin kita akan melahirkan emosi tersebut. Secara kolektif, neuron ini mewujudkan perasaan serta-merta tentang perkongsian pengalaman." (Goleman/Boyatzis).

Selain itu, neuron cermin juga membolehkan emosi dan tindakan pemimpin-pemimpin dicerminkan oleh para pengikut mereka. Memodelkan peranan ini tidak pernah benar-benar difahami sehinggalah penemuan cermin neuron. Jadi, tindakan seorang pemimpin adalah lebih penting daripada kata-katanya. Otak memikirkannya dalam bentuk gambaran dan bukannya perkataan.

Akhir kata

Jika anda benar-benar tidak mempunyai masa untuk membangun dan mengembangkan otak anda, sekurang-kurangnya anda perlu menjaga kesihatan otak anda.

Penyelidikan Terry Small menyimpulkan bahawa dengan hanya memakan beberapa biji prun setiap sehari, anda "mengurangkan risiko menghidap penyakit Alzheimer sebanyak 92%." Otak terdiri daripada 80% air. Oleh itu, banyak meminum air akan mengelakkan otak dehidrasi. Dan mendengar muzik Baroque meningkatkan keupayaan anda untuk belajar sebanyak 25 hingga 400 peratus.

Seperti anda, saya juga masih baru dalam perjalanan menjelajahi kuasa otak dalam kepimpinan. Sebagai permulaan, apa salahnya membuat pelaburan selama 20 minit untuk melakukan sesuatu di luar kepompong keselesaan anda asetiap hari? Sekurang-kurangnya anda akan mengembangkan beberapa neuron baru!

Roshan Thiran ialah Ketua Pegawai Eksekutif Leaderonomics. Anda boleh menghubunginya melalui e-mel roshan.thiran@leaderonomics.com atau media sosial  Facebook, LinkedIn atau Twitter @lepaker

Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel editor@leaderonomics.com

Sumber

  • oleh
  • Advertisement