Anda di sini

Denda atau penjara, lelaki mengaku miliki dan guna dadah

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki didenda RM5,700 atau sembilan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dan menggunakan dadah berbahaya.

Majistret Zuraini Ali Musa turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan pihak polis selama tempoh dua tahun.

Liau Siew Min, 49, dari Kampung Lusut, Jalan Taman Tunku di sini telah didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 9152 dan dihukum dibawah Seksyen 12 (3) akta sama.

Sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasar pertuduhan kes, tertuduh sebagai seorang bukan diberi kuasa sah di bawah ADB 1952, didapati ada memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 0.03 gram (berat bersih).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.10 pagi, 8 April 2009 di hadapan sebuah rumah di Jalan Maigold Taman Desa Senadin di sini.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (c) ADB 1952 kerana menggunakan dadah jenis sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 1.15 pagi, 8 April 2009 di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.

Bagi kesalahan pertama, tertuduh didenda RM3,500 atau enam bulan penjara dan denda RM2,200 atau tiga bulan penjara bagi kesalahan kedua. Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Advertisement