Anda di sini

Tujuh guni telur penyu dirampas

Advertisement
 Bot pam membawa muatan 20 kotak tepung gandum. (Gambar kanan) menunjukkan tujuh guni telur penyu yang dirampas.
CUBAAN MENYELUDUP GAGAL: Bot pam membawa muatan 20 kotak tepung gandum. (Gambar kanan) menunjukkan tujuh guni telur penyu yang dirampas.

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan merampas tujuh guni plastik berisi 3,300 biji telur penyu bernilai RM6,600 disyaki cuba diseludup masuk ke Sandakan dari negara jiran awal pagi Rabu lalu.

Rampasan dilakukan pasukan Botronda PSC 13 selepas mengesan dua bot pam bergerak perlahan dari arah laut cuba memasuki Sungai Batu Putih, kira-kira jam 4.30 pagi.

Komander Polis Marin Wilayah 4 Sabah ACP Mohd Yazib Abd Aziz, berkata ketika bot pam berkenaan dihampiri, kedua-dua juragan bertindak memecut laju dan enggan berhenti apabila diarahkan.

Ketika dikejar, dua bot pam terbabit hilang kawalan, lalu merempuh hutan bakau di kawasan itu dan juragan bertindak terjun dan melarikan diri,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bot pam berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan menemui tujuh karung guni plastik berisi telur penyu disyaki cuba diseludup.

Yazib berkata dua perahu, dua unit enjin pam 13hp dan 3,300 telur penyu yang kesemuanya bernilai RM11,100 telah dirampas.

Kesemua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya di Jabatan Hidupan Liar Sabah Cawangan Sandakan.

Kes disiasat mengikut Enakman Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Sementara dalam kes berasingan jam 4 pagi hari sama, PPM Sandakan merampas 20 kotak berisi tepung gandum jenama ‘Blue Key’ disyaki cuba diseleweng bagi tujuan penyeludupan ke negara jiran Filipina.

Yazib berkata pasukan rondaan yang membuat pemantauan di kawasan Laut Pulau Berhala Sandakan mengesan sebuah bot mencurigakan bergerak perlahan dari kawasan Laut Kampung Forest Sandakan menuju ke laut lepas.

Apabila dihampiri, juragan bot memecut laju dan enggan berhenti. Ketika dikejar, bot itu hilang kawalan, lalu terkandas di kawasan cetek Pulau Berhala, dan juragan bertindak terjun ke pantai melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata bot laju berkenaan kemudian ditahan dan hasil pemeriksaan menemui 20 kotak berisi tepung gandum yang cuba diseludup.

Katanya sebuah perahu, seunit enjin sangkut 40hp dan 200 bungkusan tepung gandum jenama ‘Blue Key’ dalam 20 kotak berkenaan, yang kesemuanya bernilai RM22,500 dirampas.

Kesemua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dirujuk ke Jabatan KPDNKK Cawangan Sandakan.

Advertisement