Anda di sini

Penjara, denda kerana pecah masuk taska

Advertisement

SANDAKAN: Seorang lelaki warga asing dijatuhkan hukuman penjara selama setahun dan denda RM1,800 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana memecah masuk dan mencuri di sebuah taska.

Majistret Faelly Jeffrey Lanjungan menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Anuar Sadat Mohd Bora, 38, kerana melakukan perbuatan itu di sebuah taska di Blok 232, Lot A1-30 Taman Mawar 5B, Lorong Sendang 14 di sini pada 17 Julai.

Berdasarkan fakta kes, pengadu membuat laporan polis apabila mendapati taska itu telah dipecah masuk dan beberapa barang termasuk pemain DVD, televisyen LCD, komputer riba dan pembakar roti telah hilang. Anggaran kerugian sebanyak RM4,500.

Pengadu juga telah menemui sebuah tangga kayu yang dipercayai digunakan tertuduh untuk memanjat ke dalam rumah.

Tertuduh kemudian ditangkap polis pada 20 Julai kerana berkelakuan mencurigakan pada jam 3 pagi di sebuah taman permainan di Taman Mawar.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh mengaku telah mencagarkan pelbagai jenis barangan curi kepada seorang lelaki dengan harga RM100. Tertuduh juga mengaku ketika itu dia amat memerlukan duit dan akan menebus kembali barangan berkenaan.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Advertisement