Anda di sini

Kumpulan Naza serah MITEC kepada kerajaan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Naza Corporation Holdings Sdn Bhd (Kumpulan Naza), konglomerat Bumiputera terbesar Malaysia, secara rasminya menyerahkan Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (MITEC) bernilai RM628 juta kepada kerajaan, kelmarin.

Pengerusi Eksekutif/ Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, Naza TTDI Sdn Bhd iaitu cabang hartanah Kumpulan Naza, telah berjaya menyiapkan bangunan ikonik dan berprestif terbaharu itu mengikut jadual yang ditetapkan.

MITEC merupakan contoh kejayaan perkongsian awam-swasta iaitu membabitkan sektor swasta dan kerajaan.

Kami amat berbangga dapat menyiapkan kemudahan RM628 juta ini dan membuktikan kemampuan Kumpulan untuk melaksanakan projek infrastruktur ‘turnkey’’ (siap guna) utama,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan itu di bangunan MITEC, malam kelmarin.

Majlis penyerahan oleh SM Nasarudin kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang diwakili oleh Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamad, turut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Terletak di lokasi strategik di Persiaran Dutamas di sini, MITEC dibina di kawasan seluas 1.5 juta kaki persegi.

Ia adalah ruang pameran terbesar di negara ini dengan kemudahan 11 dewan yang boleh memuatkan sehingga 40,000 pengunjung pada satu-satu masa.

SM Nasarudin berkata MITEC merupakan komponen pertama projek pembangunan KL Metropolis Naza TTDI seluas 30.2-hektar dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM20 bilion.

Pelan Induk KL Metropolis itu bakal menjadikannya sebagai pusat perniagaan dan komersial utama dengan kediaman serba elegan dalam hab korporat berkelas dunia. Ia juga akan menjadi kawasan pameran dan dagangan antarabangsa Kuala Lumpur yang baharu,” katanya. — Bernama

Advertisement