Anda di sini

Dua lelaki didenda atau penjara kerana guna dadah berbahaya

Advertisement

MIRI: Dua lelaki dalam dua kes berasingan masing-masing didenda RM2,500 dan RM2,600 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan menggunakan dadah berbahaya jenis 3,4 Methylenedioxymethamphetamine.

Yap Ken Hong, 24, dari Desa Pujut 2 Bandar Baru Permyjaya dan Jee Teck Poh, 26, dari Kampung Tudan Fasa 1 di sini telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara dua tahun dan dikehendaki serta-merta menjalani pengawasan selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952.

Berdasarkan kes pertama, Yap didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis 3,4 Methylenedioxymethamphetamine yang disenarai di dalam Jadual Pertama ADB 1952, dengan cara memasukkan dadah itu ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.30 pagi, 4 Jun lalu di Balai Polis Pusat Miri.

Manakala dalam kes kedua, Jee didapati telah melakukan kesalahan serupa dengan menggunakan dadah jenis sama tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya pada jam 1.20 pagi, 4 Jun lalu di Balai Polis Pusat Miri di sini.

Bagi kesalahan itu, Yap didenda RM2,500 atau empat bulan penjara dan Jee didenda RM2,600 atau empat bulan penjara.

Advertisement