Anda di sini

Beri perhatian kepada anak-anak dalam usia remaja

Advertisement
 Nizam bergambar bersama para pelajar dan pihak penganjur semasa merasmikan penutupan simposium itu.
SIMPOSIUM: Nizam bergambar bersama para pelajar dan pihak penganjur semasa merasmikan penutupan simposium itu.

TAWAU: Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan meminta ibu bapa agar memberi perhatian kepada anak-anak mereka terutama dalam usia remaja berikutan persekitaran sosial yang semakin mencabar sekarang.

Beliau mengingatkan mereka supaya tidak memandang mudah akan tanggungjawab masing-masing dengan memastikan generasi muda terbabit tidak terjebak dalam masalah seperti penagihan dadah.

Ini kerana, dalam usia remaja, mereka hendak melakukan macam-macam perkara terutama dalam menjalinkan persahabatan dengan rakan-rakan sebaya,’’ katanya.

Tambahnya, kajian juga mendapati kebanyakan mereka yang terlibat dengan kes penagihan itu berpunca daripada pengaruh kawan.

Justeru, ibu bapa perlu memastikan sahabat-sahabat anak mereka bagi mengenal pasti kejadian seperti itu tidak berlaku terhadap anak mereka.

Nizam berkata, ibu bapa juga perlu membuat persediaan dari segi fizikal dan mental supaya tidak menghadapi kejutan apabila mengalami perubahan dalam diri anak-anak.

Katanya, perubahan itu perlu ditangani dengan rasional dan bijaksana supaya tidak timbul sebarang ketidakpuasan hati antara dua pihak iaitu acuan yang disediakan oleh ibu bapa atau agenda tersendiri yang dibentuk oleh remaja.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Simposium Katakan Tidak Kepada Dadah, di sini.

Katanya, ibu bapa perlu sentiasa memberi peluang kepada generasi muda meluahkan apa yang mereka rasa kemudian berkongsi dengan generasi dewasa untuk sama-sama melayari hidup lebih sempurna.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa jangan terlalu ghairah untuk mengejar kejayaan peribadi hingga melupakan soal keluarga.

Advertisement