Anda di sini

Banteras jenayah komersial

Advertisement

IPD Padawan atasi KPI, 108 kes direkod dalam tempoh Januari-Julai dengan 50 kes babitkan pertuduhan.

 Merbin (tengah) menyaksikan Maria (kiri) dan Douglas (kanan) bertukar dokumen serah terima tugas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Padawan di IPD Padawan, semalam.
SERAH TERIMA TUGAS: Merbin (tengah) menyaksikan Maria (kiri) dan Douglas (kanan) bertukar dokumen serah terima tugas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Padawan di IPD Padawan, semalam.

KUCHING: Jenayah komersial turut menjadi keutamaan yang dibanteras di kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, termasuk IPD Serian dan Simunjan yang juga di bawah tadbiran IPD Padawan.

Justeru, Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Merbin Lisa berkata, hasil daripada siasatan dan tindakan yang dijalankan, sebanyak 108 kes telah direkodkan dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Tambah beliau, jumlah kes tersebut telah meningkat 61 kes berbanding 47 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Walaupun dengan kekuatan minimum serta sumber anggota dan pegawai terhad, kita masih dapat melakukan pertuduhan membabitkan 50 kes daripada 108 kes pada tahun ini.

Ini mewakili 46.3 peratus iaitu melebihi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 30 peratus yang ditetapkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Padawan antara DSP Maria Rasid dan Inspektor Douglas Suai Dimbap di IPD Padawan, dekat sini semalam.

Menurut Merbin, antara kes jenayah komersial yang berjaya ditumpaskan baru-baru ini ialah kes penipuan pasangan suami isteri yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Penjara ke atas seorang lelaki tempatan berusia 40-an.

Katanya, kejadian berlaku pada 18 Jun lalu apabila kedua-dua suspek mendatangi mangsa yang tinggal di Batu 8, Jalan Matang untuk menghulurkan bantuan membebaskan anaknya yang sedang dipenjara.

Merbin berkata, suspek memang mengetahui latar belakang mangsa kerana anaknya memang sedang menjalani hukuman penjara dan disebabkan terperdaya dengan penipuan kedua-dua suspek, mangsa telah memberikan sebanyak RM1,050 kepada mereka demi membebaskan anaknya.

Bagaimanapun, katanya, selepas menerima wang tersebut kedua-dua suspek terus menghilangkan diri dan tidak dapat dikesan oleh mangsa sehingga dia membuat laporan polis pada 3 Ogos lalu.

Justeru, katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Komersial IPD Padawan telah menangkap mereka di sekitar kawasan Batu 3.

Difahamkan, kedua-dua suspek telah dituduh di mahkamah hari ini (semalam) dan didapati mereka adalah pasangan yang bukan secara sah, cuma tinggal bersama dan mempunyai seorang anak berusia setahun lebih,” ujarnya.

Merbin menambah, jenayah siber yang masih turut membimbangkan di kawasan Padawan adalah penipuan Facebook atau ‘Love Scam’ yang menyebabkan golongan wanita menjadi mangsa sehingga mengalami kerugian wang tunai ratusan ribu ringgit.

Selain itu, katanya, kes pinjaman tidak wujud turut berlaku, apabila ada orang terutama yang mengalami masalah kewangan telah mempercayai tawaran pinjaman atas talian demi mendapat wang yang diperlukan namun akhirnya rugi akibat ditipu.

  • oleh
  • Advertisement