Anda di sini

Sabah berhak larang masuk individu berniat jahat: Musa

Advertisement

Pembangkang tidak dilarang, namun biarlah berniat baik

 Musa berbincang sesuatu dengan tiga timbalannya (dari kiri) Datuk Raymond Tan Shu Kiah, Datuk Seri Yahya Hussin, dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sebelum Persidangan DUN Sabah hari pertama bermula semalam. — Gambar Bernama
BINcang: Musa berbincang sesuatu dengan tiga timbalannya (dari kiri) Datuk Raymond Tan Shu Kiah, Datuk Seri Yahya Hussin, dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sebelum Persidangan DUN Sabah hari pertama bermula semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mempunyai hak untuk melarang mahupun menyekat kemasukan mana-mana individu berniat jahat serta dengan hasrat memfitnah, meracuni fikiran dan memecah-belahkan rakyat di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata kerajaan negeri ada kuasa untuk berbuat demikian bagi memastikan tiada elemen tidak berasas masuk ke Sabah yang boleh memporak-perandakan keadaan sehingga menjejaskan keamanan dan keharmonian rakyat.

Ini adalah hak kita kerana (Sabah) adalah negeri kita. Kita ada kuasa (melarang kemasukan individu berniat jahat) maka kita menggunakan kuasa ini.

Untuk apa kita mahu (membenarkan) orang tidak berguna (masuk ke Sabah) kalau (ada niat buruk) yang boleh memecah-belahkan, merosakkan dan meracuni fikiran rakyat. Untuk apa? Ini bukan cara kita.

Kerajaan bodoh sahaja membiarkan penyamun, penyangak datang ke tempat (negeri) mereka,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Pertama 2017 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.

Terdahulu, Christina Liew (PKR-Api Api), dalam perbahasannya meminta kerajaan negeri menarik balik larangan dikenakan terhadap beberapa anggota Parlimen dari Semenanjung yang merupakan pemimpin tertinggi parti pembangkang untuk masuk ke Sabah.

Antara pemimpin pembangkang yang dilarang masuk ke Sabah ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Batu Tian Chua.

Musa berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima kedatangan anggota serta pemimpin pembangkang ke Sabah, namun, biarlah kehadiran mereka ke negeri ini berlandaskan prinsip dan niat yang baik.

Walaupun dia (individu) itu pembangkang, tapi dia (kehadirannya ke Sabah berniat) baik, kita benar mereka datang ke Sabah.

Saya tidak melarang (Penasihat DAP) Lim Kit Siang (masuk ke Sabah); saya tidak melarang (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng; saya tidak melarang (Presiden PKR Datuk Seri Dr) Wan Azizah  Wan Ismail.

Tetapi, orang (individu) tertentu yang mempunyai niat busuk memecah-belahkan, membuat fitnah dan meracuni fikiran rakyat. Tidak!,” katanya. — Bernama

Advertisement