KOTA KINABALU: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO) menyasarkan mengumpul 200 pain darah menerusi kempen jelajah derma darah anjuran agensi itu di empat daerah di seluruh Sabah.
Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Pengiran Saifuddin Tahir berkata program yang dinamakan ‘Jelajah Kempen Derma Darah Kumpulan SEDCO 2017’ akan bermula hari ini (5 Ogos) di daerah Sandakan sebelum ke daerah Tawau, Lahad Datu dan berakhir di Kota Kinabalu pada 23 Ogos.
Katanya, program berskala besar dan julung kali dianjurkan badan itu sempena sambutan ulang tahun SEDCO ke-45 bertujuan mengisi tabung darah hospital di bandar-bandar utama di Sabah sekali gus membantu golongan yang memerlukan.
“Kami menganggarkan untuk memperoleh 800 penderma di setiap daerah dikunjungi,” kata Saifuddin ketika berucap sempena majlis pelancaran program itu yang turut mendapat kerjasama Pertubuhan Komuniti Penderma Darah Malaysia (Komuniti PerDarah) di sini semalam.
Menurutnya, aktiviti berkenaan dianjurkan kerana ia bertepatan dengan visi perbadanan iaitu menjadi perbadanan contoh dalam membantu pembangunan ekonomi negeri termasuklah membentuk masyarakat penyayang.
Katanya, penglibatan badan itu dalam aktiviti berkenaan juga adalah untuk memberi mesej bahawa sektor korporat juga prihatin dan bertanggungjawab dalam membentuk insan berbudi pekerti mulia dan bertanggungjawab terutama kalangan kakitangan SEDCO sendiri.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata SEDCO akan terus giat merintis pembangunan kawasan baharu di Sabah bagi merangsang sektor ekonomi penduduk setempat dan Sabah secara keseluruhannya.
Katanya antara projek dilaksanakan agensi itu termasuk pembinaan rumah kedai di Karakit, Pulau Banggi dan Kampung Bergosong di Pulau Sebatik, Tawau.
Menurutnya kedua-dua projek berkenaan telah siap sepenuhnya dan disewakan kepada peniaga setempat dengan kadar sewa antara RM400-RM500 sebulan. — Bernama