Anda di sini

Pelbagai jenis jambu batu, ladang teh gamit pelancong

Advertisement

Bahagian II

 Jaden Ting bergambar di ladang teh yang diusahakan empat tahun lalu tumbuh segar di gunung Ali.
SEGAR: Jaden Ting bergambar di ladang teh yang diusahakan empat tahun lalu tumbuh segar di gunung Ali.

ROMBONGAN media dan agensi pelancongan dari Sarawak meneruskan perjalanan dengan menggunakan bas ke ladang riadah Jing Qing di daerah Changhua, Taiwan untuk diperkenalkan dengan pemilik ladang buah jambu batu, Cheng Jun Tat.

Buah jambu batu merupakan buah wajib yang dihidangkan kepada tetamu setiap kali berkunjung ke mana-mana restoran dan hotel di Taiwan.

Ini kerana buah jambu batu boleh diperolehi sepanjang tahun dan antara buah yang banyak ditanam oleh penduduk.

Memetik buah jambu batu antara pakej aktiviti ditawarkan kepada pelancong ketika melawat ladang riadah.

Cheng memberitahu, sebanyak 12 jenis buah jambu batu ditanam di ladang seluas sehektar yang telah diusahakan selama 18 tahun.

Ladang mengeluarkan sebanyak 20,000 kilogram buah setahun dan hanya untuk keperluan pasaran domestik.

Rombongan berpeluang menikmati beberapa jenis buah jambu batu terdiri daripada jambu batu merah, emas, ungu dan wangi.

Cheng berkata, jambu batu pearl adalah jenis paling laris. Selain buah, ladang turut menjual jem, buah jambu yang dikeringkan dan teh beras jambu batu.

“Dua tahun lalu, kita telah ke Hong Kong dan semua produk kita laris dijual,” jelasnya.

 Cheng Jun Tat menunjukkan jambu batu yang ditanam di ladangnya yang seluas sehektar.
SUBUR: Cheng Jun Tat menunjukkan jambu batu yang ditanam di ladangnya yang seluas sehektar.

Ladang teh di pergunungan Ali

Setelah kenyang menikmati jambu batu yang lazat, perjalanan diteruskan ke barat daya Taiwan menuju daerah Chiayi iaitu daerah keenam terbesar di Taiwan.

Bas pelancong membawa rombongan ke kawasan pergunungan Ali yang lebih dikenali dengan Alishan menuju ladang riadah Long Yun.

Pergunungan ini merupakan destinasi popular harus pergi pelancong untuk melihat keindahan alam semula jadi dan menyertai aktiviti melihat matahari terbit di atas puncak gunung.

Selain itu terdapat 3,000 spesies herba, 400 hektar pokok dan bunga-bungaan tumbuh liar sepanjang musim.

Kawasan ini juga popular dengan pengeluaran teh dari ladang-ladang teh yang banyak di kaki gunung.

Selain teh, buluh yang terdapat di gunung ini juga adalah dari gred yang tertinggi.

Ia merupakan kediaman untuk 16 kumpulan orang asli Taiwan yang kaya budaya dan tradisi.

Long Yun terletak di kawasan pertengahan gunung yang mengambil masa 45 minit untuk tiba bagi pelancong yang menaiki bas.

Pemilik, Jaden Ting Ya Yuan berkata, perniagaan adalah milik keluarga yang diusahakan selama hampir 20 tahun.

Melihat banyak manfaat teh kepada kesihatan, Jaden turut mencuba mengusahakan teh secara komersil sejak empat tahun lalu.

Beliau kini memiliki sehektar ladang teh yang dihasilkan untuk keperluan pasaran tempatan.

Teh dituai sebanyak empat kali setahun dari bulan April hingga Oktober.

Ladang turut menawarkan penginapan dengan 40 bilik serta menyediakan hidangan halal untuk pengunjung beragama Islam.

Jaden sering berkunjung ke Malaysia dan Singapura untuk mendapatkan bahan-bahan keperluan menu halal di restorannya.

Pada jam 7 malam, tetamu boleh melihat kelip-kelip berterbangan di sekitar kawasan pergunungan.  

Penginap boleh melihat bintang dan bulan dari ‘skylight roof’ di bilik. Turut dikendalikan ialah aktiviti DIY membuat kek beras Mochi.

 Antara bilik penginapan yang mempunyai atap skylight yang membolehkan penginap melihat bintang dan bulan dari bilik mereka.
LIHAT BINTANG: Antara bilik penginapan yang mempunyai atap skylight yang membolehkan penginap melihat bintang dan bulan dari bilik mereka.

Menu sihat

Dari kawasan pergunungan, rombongan dibawa menuju daerah Nantou ke kawasan pertengahan Taiwan dan merupakan daerah kedua terbesar.

Rombongan dibawa ke ladang riadah Forest 18. Ladang ini memfokus kepada konsep cara hidup sihat dan mampan dengan mewujudkan sebuah adang riadah yang menumpukan aspek ekologi, kehidupan,  persekitaran  dan alam semula jadi.

Pemilik, Sue Chen Chiu Ping berkata,  ladang seluas 4,000 kaki persegi itu telah beroperasi hampir lapan tahun,  terbahagi kepada kawasan haiwan, tumbuhan herba, vanila, sayur organik, taman permainan kanak-kanak dan hutan.

Pengunjung restoran akan disajikan hidangan periuk panas yang sihat dan set menu ringan sihat dan sedap.

“Sebelum ini kita sajikan makanan tradisional kepada pelanggan. Sekarang kita telah tukar konsep kepada makanan sihat,” jelas Sue.

Ladang turut menyediakan lima bilik penginapan di tingkat ketiga premis. Restoran dua tingkat beroperasi dari jam 9 pagi hingga 6 petang kecuali Selasa dan Rabu.

Selain dijamu sajian sihat, rombongan diajar cara membuat krim penghalau nyamuk menggunakan minyak eucalyptus (kayu putih) sebagai bahan utama. Bahan campuran lain ialah minyak pati pudina, serai dan ‘tea trea’.

Ladang turut ditumbuhi pokok eucalyptus yang merupakan makanan kegemaran beruang koala.

Patung haiwan itu juga dijual sebagai hadiah cenderahati selain minyak pati aromaterapi, sabun dan pencuci tangan.   

  • oleh
  • Advertisement