Anda di sini

Kerjasama penduduk pastikan perkampungan Sim-Sim bebas PATI

Advertisement
 Raymond (empat kiri) menerima cenderahati daripada Noor Alam Khan.
KERJASAMA: Raymond (empat kiri) menerima cenderahati daripada Noor Alam Khan.

SANDAKAN: Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat Datuk Seri Panglima Raymond Tan Shu Kiah meminta kerjasama penduduk Sim-Sim untuk memastikan perkampungan atas air itu bebas daripada pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ia berikutan, beliau khuatir sekiranya ada PATI cuba mencari jalan untuk masuk ke Sandakan melalui kampung berkenaan.

“Kampung ini bukan setinggan sebaliknya diiktiraf untuk penduduk. Kita tidak mahu ada rumah di sini yang disewakan kepada pendatang asing. Kita kena jaga kampung kita. Kita kena jaga hak kita.

“Untuk 562 rumah yang terdapat di kampung ini, saya ada ambil rekod siapa yang tinggal di setiap rumah termasuk yang menyewakan rumah. Tetapi kita takut sekiranya penyewa rumah tidak memberitahu kepada pihak berkuasa sekiranya mereka memberi sewa kepada pendatang asing.

“Oleh itu, saya mahu penduduk Sim-Sim menjalankan tanggungjawab bersama kerajaan untuk menjaga keselamatan negara kita,” katanya kepada media selepas Majlis Pertemuan ESSCom Bersama Masyarakat Tanjung Papat di Balai Raya Rumah Murah Kampung Sim-Sim, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Komander ESSCOM DCP Datuk Hazani Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Noor Alam Khan A Wahid.

Menteri Pembangunan Perindustrian itu berkata soal keselamatan adalah tanggungjawab bersama dan keberkesanannya memerlukan hubungan yang baik di antara anggota keselamatan dan penduduk.

Jelasnya, kerjasama yang baik membolehkan kedua-dua pihak berbincang untuk menghalusi lagi tindakan operasi yang dicadangkan.

Semua tindakan yang akan diambil oleh ESSCom perlu kerjasama yang baik daripada penduduk setempat.

Advertisement