Anda di sini

Ladang riadah tarikan pelancong Islam ke Taiwan

Advertisement

Bahagian I

 Pelancong diterangkan cara-cara menghasilkan skaf celup indigo.
AKTIVITI MENARIK: Pelancong diterangkan cara-cara menghasilkan skaf celup indigo.

BERMULA 23 hingga 27 Julai lalu, rombongan terdiri daripada media dan agensi pelancongan dari Sarawak diterbangkan ke negara Taiwan untuk mengikuti lawatan ke Muslim Leisure Farm atau Ladang Riadah Muslim yang merupakan pakej pelancongan terbaharu menarik kunjungan pelancong-pelancong beragama Islam khasnya dari rantau Asia termasuk Malaysia.

Wakil dari akhbar Utusan Borneo tidak ketinggalan mengikuti lawatan sambil belajar ini bagi meningkatkan pemahaman dan melihat secara lebih dekat operasi pengurusan ladang yang sememangnya menekankan hospitaliti, kebersihan dan kesihatan mengikut garis panduan ditetapkan menjadikan premis perniagaan mereka ‘Muslim Friendly’ atau Mesra Muslim.

Tumpuan melibatkan sumber bahan, dapur, penyediaan dan peralatan yang diasingkan dan dilabelkan halal agar pelanggan tidak berasa ragu-ragu dan berasa yakin ketika menjamu dan menikmati hidangan disediakan di sebuah negara yang majoritinya kaum Cina.

Ladang turut menawarkan bilik penginapan selesa yang telah memiliki arah kiblat untuk bersolat serta menawarkan aktiviti D.I.Y (Do It Yourself) dan lawatan ke sekitar ladang.

 James menunjukkan tiga sijil Halal yang disahkan daripada CMA.
DISAH HALAL: James menunjukkan tiga sijil Halal yang disahkan daripada CMA.

TLFDA

Penaja dan penganjur utama lawatan ini ialah Persatuan Pembangunan Ladang Riadah Taiwan (TLFDA) dengan kerjasama Let Fun Management Sdn Bhd yang bertanggungjawab memasarkan dan mempromosikan produk pelancongan ini di Malaysia, Indonesia, Brunei, Taiwan dan Jepun.

Pegawai Pemasaran TLFDA, Calem Ngan Kok Lim berkata, antara peranan persatuan ialah membantu peladang-peladang kecil meningkatkan sumber pendapatan dengan menjadikan produk pertanian lebih berkualiti dan menguntungkan.

Ini termasuk menggalak peladang menjadikan kawasan ladang mereka sebagai ladang riadah dan pusat tarikan pelancong.

“Persatuan kami telah berusia 20 tahun. Kami mendapat dana dari kerajaan berdasarkan projek yang kami laksanakan. Kami terdiri daripada empat jabatan dengan 18 orang kakitangan.

“Ahli-ahli kami terdiri daripada peladang. Untung yang mereka perolehi daripada hanya menjual buah adalah tidak besar. Jadi kita tolong mereka. Kita sediakan khidmat konsultasi, beri aktiviti kepada mereka yang mahu jadikan ladang mereka sebagai ‘leisure farm’,” jelas Calem.

Untuk terlibat dalam projek ini, peladang perlu terlebih dahulu mendapatkan permit dan seterusnya ditingkatkan ilmu kemahiran pengurusan ladang menerusi kursus.

Peserta akan diberi sijil pemantauan kualiti setelah lulus pemeriksaan kualiti yang merupakan aspek penting dalam industri hospitaliti.

“Selepas itu kita akan bantu lakukan pemasaran bersepadu melibatkan pasaran domestik dan antarabangsa. Kita tolong promosi produk mereka di pasaran Asia seperti Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Indonesia. Kita juga bawa media, agensi pelancongan dan kendalikan lawatan ke ladang mereka, “ tambah Calem.

Persatuan kini dianggotai 170 ahli terdiri dari peladang dan individu di seluruh Taiwan dan lebih 300 ladang berdaftar.

 Proses merendam skaf dalam bekas celup indigo.
RENDAM: Proses merendam skaf dalam bekas celup indigo.

Eva Air

Lima agensi pelancongan dari Sarawak iaitu Miri Borneo Travel Agencies Sdn Bhd, Ecogreen Holidays Sdn Bhd Kuching, Ibanika Tours & Travel Sdn Bhd Kuching, Queensway Travel Sdn Bhd Sibu dan Intercontinental Travel Centre Sdn Bhd serta sebuah agensi dari Kuala Lumpur, Via Vacation and Travel Sdn Bhd dibawa menyertai lawatan ini.

Turut serta ialah Pengarah Let Fun Management Sdn Bhd, Liew Shin Khen sebagai ketua rombongan.

Rombongan bertolak dari lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 ke  ibu negara, kota raya Taipei menggunakan pesawat Eva Air iaitu syarikat penerbangan antarabangsa Taiwan.

Penerbangan memakan masa selama 4 jam 40 minit untuk tiba di lapangan terbang antarabangsa Taoyuan di Taipei yang terletak di bahagian utara negara kepulauan Taiwan.

Untuk penumpang beragama Islam, Eva Air turut menyajikan set sajian halal seperti spageti ikan dan nasi ayam percik yang dihidangkan bersama salad, roti bun dan hidangan pencuci mulut buah-buahan dan kek keju.

Selain itu kudapan kacang campur dan kraker beras serta pelbagai jenis pilihan air termasuk kopi dan teh turut disediakan.

Syarikat penerbangan ini mempunyai dapur penyediaan makanan halal yang turut membekalkan makanan untuk beberapa syarikat penerbangan Timur Tengah.

 Calem menerangkan cara-cara daun malan diekstrak menjadi celup indigo.
SEMULA JADI: Calem menerangkan cara-cara daun malan diekstrak menjadi celup indigo.

City Suites Taoyuan Gateway

Hanya terletak lima minit dari lapangan terbang, hotel City Suites merupakan hotel persinggahan terbaik untuk pelancong yang tiba malam di Taiwan.

Penolong Pengurus Besar James Hsieh berkata, hotel mereka telah menerima sijil pengesahan halal daripada Persatuan Muslim Cina (CMA) pada tahun 2009 iaitu Restoran Mesra Muslim, hotel Pelancongan Mesra Muslim dan Restoran Khusus untuk Pelancong Berkumpulan di Taiwan.

“Selain menu halal, kita juga menyediakan tempat solat di lobi. Sekiranya ramai, mereka boleh menggunakan ruang lebih besar di bilik mesyuarat yang boleh menempatkan seramai 600 orang,” jelasnya.

James memberitahu, daripada sebelas cawangan, cawangan Taoyuan dan Taipei Nandong merupakan dua cawangan yang memiliki sijil halal CMA.

Hotel sebelas tingkat ini menerima 90 peratus tempahan untuk 174 bilik selain terletak berhampiran dengan stesen kereta api laju MRT untuk ke Taipei yang hanya memakan masa kurang daripada setengah jam.

Hotel turut memiliki mesin layan diri (vending machine) membeli minuman. Bertaraf empat bintang, pelanggan ditawarkan khidmat laundri secara percuma.

Selain Malaysia, sebahagian besar penginap adalah dari negara Singapura dan Indonesia.

Belajar mencelup kain  Calem yang juga pemandu pelancong untuk keseluruhan lawatan ini memberitahu, sehingga kini sebanyak tujuh ladang menerima sijil Halal dari CMA.

Penduduk Islam di Taiwan hanya seramai 0.3 peratus atau 60,000 orang daripada 23 juta penduduk majoriti kaum Cina yang sebahagian besar menggunakan dialek Hokkien dan Hakka.

Taiwan juga didiami orang asli yang semakin ramai berhijrah ke kawasan bandar. Mereka boleh dikenali dari segi warna kulit yang lebih gelap dan bahasa pertuturan.

Lawatan bermula dari bahagian barat Taiwan iaitu di daerah Miaoli mengunjungi Zhuoye Cottage Farm yang terletak satu setengah jam dari lapangan terbang Taoyuan.

Daerah ini didiami komuniti Hakka,  terkenal dengan musim bunga Tung berwarna putih yang mekar pada Mei dan seni kayu.

Tetapi aktiviti popular yang menarik perhatian pelancong ke ladang ini ialah proses pembuatan kain celup indigo.

Pewarna indigo merupakan sebatian organik dengan warna biru tersendiri yang digunakan untuk mewarna corak baju, kain, skarf, sapu tangan dan beg.

Indigo merupakan pewarna semula jadi yang diekstrak daripada daun tumbuhan tertentu.

“Proses ini amat popular dalam kalangan pelancong Asia Tenggara khasnya pelancong Jepun. Mereka sanggup datang ke sini untuk belajar, “ jelas Calem.

Di ladang ini, pewarna indigo diekstrak daripada daun malan yang diterangkan kepada peserta kelas DIY menerusi tayangan video.

Peserta diajar membuat rekaan sapu tangan dan mencelup dalam bekas warna indigo di mana semua proses termasuk rekaan mengambil tempoh masa satu jam.

Penolong Naib Presiden, Eason Hsieh berkata, selain aktiviti DIY, pengunjung juga boleh menginap atau menikmati pelbagai hidangan enak disediakan restoran yang turut memiliki sijil halal.

Ladang memiliki sebanyak 15 jenis bilik yang setiap satunya mempunyai rekaan tersendiri.

Beroperasi selama 13 tahun, ladang boleh dikunjungi dari jam 9 pagi hingga 9.30 malam.

Selain Jepun, ladang turut dikunjungi pelancong Hong Kong, Singapura dan pelancong tempatan.

Untuk pengunjung muslim, mereka boleh mencuba hidangan periuk panas sayur-sayuran.

Mengulas tentang perusahaan kain celup indigo, permintaan yang diterima adalah melebihi produk yang dihasilkan.

Tempoh masa tiga hingga empat hari untuk menghasilkan kain celup indigo sepanjang 45 meter.

‘Kita telah menanam sebanyak 8 hektar daun malan. Tuaian akan dilakukan awal dan pertengahan tahun, ‘ jelasnya.

Eason memberitahu, beliau akan ke China untuk mencari rakan niaga dengan harapan mempertingkatkan pengeluaran dan memperluaskan pasaran perniagaan.

Selain itu, ladang turut menanam lebih 10 jenis sayur daun dan buah di lereng bukit.

Sisa kayu hinoki ditaburkan di laluan sepanjang kebun untuk mengelakkan laluan tanah becak.

Sayur juga digunakan sebagai bahan utama pewarna makanan yang juga dihasilkan oleh ladang.

Pelbagai warna ini juga akan digunakan untuk membuat hidangan pencuci mulut ‘tang yuan’ iaitu bebola beras pulut berwarna warni yang juga merupakan aktiviti DIY untuk pengunjung.

  • oleh
  • Advertisement