Anda di sini

14 kereta perisai APC baharu perkukuh pertahanan sabah

Advertisement
 Zulkiplie (dua kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Tun Juhar (dua kanan).
PENGHARGAAN: Zulkiplie (dua kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Tun Juhar (dua kanan).

KOTA KINABALU: Tentera Darat Malaysia dilengkapkan dengan 14 kereta perisai baharu jenis Armoured Personnel Carrier (APC) untuk kegunaan kawalan keselamatan negeri ini termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCom).

Panglima Tentera Darat Dato’ Sri Zulkiplie Kassim berkata kesemua aset terbaharu itu telah memulakan operasi bagi meningkatkan keupayaan kawalan keselamatan terutamanya kawasan ESSCom.

“Sebelum ini, kita sudah mempunyai 20 unit kenderaan perisai jenis itu termasuk tiga pesawat udara untuk membantu lapan infantri batalion yang bertugas di bawah naungan ESSCom.

“Kita masih melihat keperluan lain kerana kita melihat ESSCom penting untuk diberi penumpuan dan membantu agensi lain melaksanakan operasi terutama di pulau-pulau yang ada di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni di Istana Negeri, pagi Rabu.

Pada kunjungan itu, Zulkiplie turut memaklumkan Juhar mengenai tahap keselamatan di Sabah dan penglibatan Tentera Darat Malaysia dalam membantu menjaga keselamatan negeri ini.

“Kita wujudkan Markas Task Force 450 yang kemudian akan menjadi divisyen kelima yang bertanggungjawab ke atas keselamatan Negeri Sabah.

“Bagi ESSCom, kita telah aturkan trup-trup untuk membantu dalam menjaga serta melaksanakan sebarang operasi,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut mengajak masyarakat setempat untuk menghadiri Majlis ‘Battle Honour’ pada 11 Ogos ini di Padang Merdeka.

“Menteri Pertahanan akan memberi pengiktirafan kepada semua pasukan termasuk unit-unit dalam tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat dengan Ops Daulat.

“Pengiktirafan besar ini menjadi catatan pada panji-panji pasukan sebagai penghargaan kepada kejayaan pasukan dalam satu-satu operasi atau pertempuran,” jelasnya.

Tambahnya, pelbagai pengisian lain seperti pameran dan pertunjukan khas daripada ATM menanti pengunjung pada sebelah siang program itu dijalankan.

Hadir sama ialah isteri Zulkiplie, Datin Sri Zaleha Md Yusof.

Advertisement