Anda di sini

Warga emas mengaku bersalah miliki tiga keping tiket loteri haram

Advertisement

MIRI: Gara-gara memiliki tiga keping tiket loteri haram, seorang warga emas didenda RM4,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah Ho Chin Tiong, 66, dari Tanjung Garden, Jalan Tanjung di sini mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen  9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati ada memiliki tiga keping kertas tiket-tiket loteri berangka 10,000 sebagai loteri awam haram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4 petang, 19 Jun lalu di sebuah kafe di Taman Jade Manis di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Advertisement