Anda di sini

Tangani segera isu aduan palsu pelajar

Advertisement

Aduan palsu boleh melarat jadi fitnah dan menjejaskan kredibiliti institusi pendidikan

TAWAU: Isu aduan palsu murid dan pelajar perlu ditangani segera sebelum melarat menjadi budaya fitnah yang berpotensi menjejaskan kredibiliti institusi pendidikan di negara ini.

Kes aduan palsu berbentuk tuduhan kononnya wujud isu penderaan guru terhadap murid atau pelajar menuntut ibu bapa lebih berhati-hati sebelum mengambil tindakan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bandar Tawau Badriansyah Mohd Hamdi khuatir penularan isu terbabit akan mengheret lebih ramai pihak terpalit.

Misalnya, kes aduan palsu yang menjadi tular baru-baru ini bukan sahaja menimbulkan fitnah kepada guru yang dikatakan ‘mencederakan murid perempuannya’ semata-mata.

Malah menjejaskan reputasi guru terbabit, serta menyebabkan murid, orang tua dan keluarganya menanggung aib sebaik kisah sebenar terbongkar,” katanya di sini pada Selasa.

Beliau berkata tindakan ibu bapa melaporkan aduan anak kepada polis secara melulu tanpa usul periksa perlu dijadikan iktibar supaya tidak berulang.

Menurutnya, tindakan segelintir ibu bapa memuat naik kes berkaitan anak mereka ke media sosial secara terburu-buru pula amat dikesali kerana hanya memburukkan keadaan.

Ada baiknya jika ibu bapa merujuk kepada pihak sekolah terlibat terlebih dahulu dan mengambil tindakan yang cermat kerana mungkin anak mereka berbohong,” katanya.

Beliau percaya langkah sedemikian penting untuk mengelak salah faham sehingga menjejaskan pihak yang tidak bersalah dan mencari jalan penyelesaian yang lebih baik.

Badriansyah berterima kasih kepada polis kerana menjalankan siasatan terperinci berhubung kes-kes laporan ibu bapa berkaitan aduan murid tanpa berat sebelah.

Isu-isu di sekolah sememangnya sensitif dan mendapat perhatian ramai, lebih-lebih lagi dengan lambakan platform media sosial mudah diakses tanpa mengira masa dan tempat.

Namun, kita berharap netizen tidak terlalu taksub menyebarkan maklumat tanpa usul periksa hanya kerana berlumba mahu menjadi ‘orang pertama’ semata-mata,” katanya.

Advertisement