Anda di sini

Syiah Afghanistan protes serangan di masjid

Advertisement

Pengebom nekad lontar bom tangan, 30 termasuk kanak-kanak maut, lebih 60 cedera

 Seorang pegawai media tempatan meninjau keadaan di dalam masjid Syiah yang diserang pengebom nekad di Herat, semalam. — Gambar AFP
MELAMPAU: Seorang pegawai media tempatan meninjau keadaan di dalam masjid Syiah yang diserang pengebom nekad di Herat, semalam. — Gambar AFP

HERAT: Masyarakat Syiah menunjuk perasaan di tengah Herat, Afghanistan semalam ekoran satu serangan masjid yang berdarah manakala kemarahan meningkat berhubung kegagalan pihak berkuasa untuk mencegah serangan terbaharu ke atas masyarakat minoriti itu.

Seramai 30 termasuk kanak-kanak maut dan 64 cedera apabila pengebom nekad yang melontar bom tangan menyerbu masjid Jawadya di bandar barat dekat sempadan Iran itu lewat kelmarin.

Belum ada pihak setakat ini mengaku melancarkan serangan itu, tetapi ia berlaku sehari selepas kumpulan Islamic State (IS) menyatakan ia telah melancarkan serangan berdarah ke atas kedutaan Iraq di Kabul dalam usahanya untuk memperluaskan pengaruhnya di negara yang bergolak itu.

Masyarakat Syiah, kumpulan minoriti dengan kira-kira tiga juga anggota di Afghanistan yang mempunyai majoriti Muslim Sunnah, kerap disasari pelampau IS sejak setahun lalu.

Mereka menuduh anggota polis dan tentera gagal melindungi mereka.

Kami akan mengebumikan mayat pada petang ini dan kemudian menunjuk perasaan di jalanan untuk menuntut keadilan,” kata Farhad Dost sambil menangis, selepas sepupunya maut dalam serangan itu.

Saya kehilangan semua orang yang saya sayangi, mereka malah membunuh kanak-kanak sekecil tujuh tahun. Ini bukan serangan ke atas orang Syiah, ini adalah serangan ke atas semua orang Afghan, semua orang Muslim,” katanya.

Anggota masyarakat Syiah berkata polis mengabaikan mereka setelah dua penyerang bertindak sekitar jam 8.00 malam kelmarin.

Pos pemeriksaan polis terletak kira-kira 100 meter dari masjid. Mereka malah tidak berusaha untuk menghalang penyerang. Semua mereka lari apabila mereka mendengar bunyi letupan,” kata Dost yang kecewa.

Penduduk tempatan yang marah kemudian bertelingkah dengan polis dan membakar pos pemeriksaan berkenaan, menurut saksi yang melaporkan anggota polis melepaskan tembakan, yang mencederakan beberapa penunjuk perasaan.

Farhad Afshar bergegas ke masjid, di mana jemaat berhimpun untuk solat, setelah mendengar letupan.

Apabila saya tiba, masjid penuh dengan daging dan darah. Saya nampak seorang ibu menangis dan mencari dua anaknya. Dia menjumpai seorang daripada mereka cedera dalam masjid, manakala seorang lagi ditemui mati dalam ambulans,” katanya kepada AFP.

Memetik kata mangsa yang selamat, dia berkata penyerang mulanya melepas-kan tembakan ke arah jemaah, kemudian melontar bom tangan sebelum akhirnya me-letupkan diri dalam masjid.

Saksi menceritakan tentang suasana keganasan dan huru-hara, dengan wad kecemasan yang penuh sesak dan mereka yang terselamat mengejar mangsa ke hospital dalam kenderaan mereka sendiri dan malah ada yang berjalan kaki.

Ambulans tidak cukup banyak, saya cuba membawa seorang kanak-kanak kecil ke hospital tetapi dia mati dalam tangan saya,” kata Ali.

Jilani Farhad, jurucakap bagi gabenor Herat, berkata bilangan kematian dijangka meningkat untuk melepasi 30 kerana beberapa mangsa yang cedera berada dalam keadaan yang tenat.

IS mengaku bertanggung-jawab bagi siri serangan yang mengorbankan puluhan orang Syiah di Kabul sejak setahun lalu, termasuk letupan berkembar pada Julai 2016 yang berlaku di tengah-tengah penduduk Hazara Syiah, membunuh sekurang-kurangnya 85 orang dan mencederakan lebih 400 lagi. — AFP

Advertisement