Anda di sini

Kes protes 2008, mahkamah bebas pegawai

Advertisement
 Kombinasi gambar yang dirakamkan di luar Mahkamah Agung di Bangkok semalam menunjukkan Chavalit (kanan) dan Somchai. — Gambar AFP
BEBAS: Kombinasi gambar yang dirakamkan di luar Mahkamah Agung di Bangkok semalam menunjukkan Chavalit (kanan) dan Somchai. — Gambar AFP

BANGKOK: Mahkamah tertinggi Thailand semalam membebaskan dua bekas perdana menteri dan dua bekas pegawai tertinggi polis berhubung peranan mereka dalam satu operasi pada 2008 ke atas penunjuk perasaan antikerajaan yang mengorbankan dua orang.

Bekas perdana menteri Somchai Wongsawat dan timbalannya ketika itu Chavalit Yongchaiyudh berdepan dengan tuduhan kecuaian berhubung satu operasi polis untuk mengusir penunjuk perasaan yang telah mengepung Parlimen.

Insiden berdarah itu merupakan satu daripada banyak rusuhan sejak sedekad lalu di antara kem politik mereka, satu pergerakan populis yang diketuai bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra, dengan pihak berkuasa yang konservatif di Bangkok.

Polis bertempur dengan penunjuk perasaan, ada di antara mereka yang memiliki bom buatan sendiri, dan melepaskan banyak gas pemedih mata. Dua maut dan ratusan cedera.

Selepas tentera merampas kuasa pada 2014, pihak berkuasa membicarakan keempat-empat lelaki terbabit.

Namun dalam keputusannya semalam, sembilan hakim menolak kes itu, dengan hujah bahawa pihak berkuasa bertanggungjawab untuk mengusir penunjuk perasaan yang tidak menjaga keamanan dan tiada seorang pun daripada defendan yang bertanggungjawab bagi kematian yang berlaku.

Penunjuk perasaan mengepung parlimen dan mengugut untuk menyerbu bangunan itu maka itu ia bukan perhimpunan aman.

Pihak berkuasa terpaksa menggunakan kekerasan untuk membuka jalan,” mahkamah menyebut dalam rumusan yang diterbitkannya.

Mahkamah menolak kes itu,” tambahnya.

Somchai dan Chavalit adalah anggota puak politik yang setia kepada Thaksin Shinawatra, taikun bilionair yang hidup dalam buangan dan menjadi orang utama dalam perbalahan politik yang semakin buruk di Thailand.

Somchai, ipar Thaksin, menjadi perdana menteri pada waktu operasi itu dijalankan manakala Chavalit berkhidmat sebagai perdana menteri pada zaman 1990an.

Thaksin digulingkan oleh tentera pada 2006, yang mencetuskan keadaan tidak stabil selama sedekad yang diwarnai keganasan politik yang kerap berlaku, kerajaan yang tidak lama memerintah dan satu lagi kudeta tentera pada 2014.

Parti-parti yang diusahakan oleh atau bersekutu dengan keluarga Thaksin memenangi setiap pilihan raya sejak 2001, umumnya menerusi sokongan pengundi luar bandar dan miskin dari utara negara yang mempunyai ramai penduduk yang memuja mereka.

Namun mereka dibenci oleh kebanyakan orang dalam golongan elit yang setia kepada raja di Bangkok dan sekutu tentera mereka yang menggunakan protes jalanan, mahkamah dan kudeta untuk mematahkan penentang mereka.

Sewaktu protes pada 2008, puak anti-Shinawatra yang digelar ‘Baju Kuning’, mengepung Parlimen.

Pada hujung tahun itu, kumpulan Baju Kuning menduduki Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok untuk cuba menggulingkan kerajaan, satu tindakan yang menyebabkan puluhan ribu pelancong terkandas di negara itu.

Sekumpulan kecil penyokong Baju Kuning menjerit “Pembunuh!” ketika keempat-empat defendan meninggalkan mahkamah selepas mereka dibebaskan.

Tee Sae Tiew, seorang warga emas berusia 73 tahun yang kehilangan sebelah kaki selepas dia terkena bekas gas pemedih mata pada 2008, berkata dia sebelum ini berharap “untuk melihat pesalah dihukum bagi apa yang mereka lakukan”.

Di luar mahkamah, Somchai melambai kepada penyokongnya sendiri.

Saya gembira kami menerima keadilan dari perjuangan ini,” katanya kepada pemberita.

Dua tahun selepas protes, keadaan sebaliknya berlaku.

Puak Baju Kuning memegang kuasa dan sekutu ‘Baju Merah’ keluarga Shinawatra pula menutup beberapa kawasan di Bangkok, membawa kepada operasi tentera yang mengorbankan lebih 90 orang.

Tidak sesiapa didakwa ke atas mana-mana pembunuhan tersebut.

Beberapa pegawai kanan di sebalik operasi 2010 kemudian mengetuai kudeta pada 2014 yang memberi kuasa kepada junta sekarang. — AFP

Advertisement