Anda di sini

Banduan dihukum penjara enam bulan kerana kesalahan dadah

Advertisement

MIRI: Seorang banduan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh jatuh hukuman semalam.

Tertuduh juga diperintahkan supaya menjalani pengawasan pihak polis selama tempoh dua tahun.

Hii Siik Hing @ Hiik Hing, 56, dari Kampung Senadin di sini telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.45 petang, 17 September 2015 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.

Dalam kes berasingan, waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret terhadap Yap Chien Peng yang menghadapi tuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine dilanjutkan sehingga 14 Ogos ini.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah tertuduh gagal hadir buat kali kedua untuk pengurusan kesnya semalam.

Yap Chien Peng, 36, dari Quadruplex Bandar Baru Permyjaya di sini telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a)  Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun dan dikehendaki serta merta menjalani pengawasan selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4.20 pagi, 19 Oktober 2014 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Advertisement