Anda di sini

TDA yakin negara capai nilai pemerolehan RM68 bilion

Advertisement

KUALA LUMPUR: Technology Depository Agency Bhd (TDA) yakin negara dapat mencapai nilai sasaran pemerolehan RM68 bilion menjelang 2020 melalui Program Kerjasama Industri (ICP).

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zailani Safari berkata, agensi itu telah menyelesaikan pemerolehan bernilai kira-kira RM5 bilion setakat ini bagi 2017 berbanding RM1 bilion tahun lepas.

“Kami bekerjasama dengan banyak agensi untuk membantu kami mencapai sasaran, dan kami yakin jika semuanya berjalan lancar, kami mampu mencapainya,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Asian Rail Academy (ARA) di sini, semalam.

Semasa majlis itu, TDA turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ARA dan Tabung Pembangunan Sumber Manusia untuk menyokong Pusat Kecemerlangan Rel Negara (NRCOE), yang berperanan mengisi keperluan industri kereta api tempatan melalui pendidikan dan latihan.

“Kami melihat usaha NRCOE ini akan memenuhi keperluan pembangunan kereta api masa hadapan, bukan hanya di Malaysia, malah juga rantau ASEAN,” katanya.

Katanya, NRCOE menyasarkan untuk mengurangkan jurang keperluan modal insan, dan beliau menambah, tenaga kerja dalam industri kereta api tempatan ketika ini berjumlah 22,000 orang, dan dijangka meningkat kepada 68,000 menjelang 2030.

Zailani berkata, ICP akan membantu pembangunan industri kereta api Malaysia ke arah menjadi perniagaan lebih kukuh dan mampan, berupaya memenuhi permintaan pengangkutan rel negara serta menjadi penggiat global yang berdaya saing.

Tahun lepas, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dilaporkan berkata, nilai pemerolehan menerusi offset, atau ICP, adalah sebanyak RM17 bilion, terdiri daripada pelbagai projek yang sedang dilaksanakan, termasuk Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura dan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan 1 dan 2.

Beliau berkata, projek-projek tersebut akan merealisasikan sasaran nilai pemerolehan, yang turut termasuk sumbangan daripada penempatan bahagian dan komponen, pembuatan, pembangunan modal insan serta akses pasaran. — Bernama

Advertisement