Anda di sini

Rayuan terakhir diketepikan

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin, kekal menjalani hukuman gantung atas kesalahan membunuh ibu bapanya.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Wira Ahmad Haji Maarop, dan tiga korum Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Dato Wira Aziah Ali membuat keputusan itu terhadap Yew Wui Lam, 38.

Md Raus dalam penghakiman itu berkata, mahkamah mempertimbangkan hujah pihak pembelaan dan pendakwaan, bagaimanapun mereka bersetuju dengan mahkamah rendah dan dengan itu rayuan diketepikan.

Yew yang diwakili peguam Farazwin Haxday merayu bagi menentang keputusan Mahkamah Tinggi Sandakan, yang mengenakan hukuman gantung mandatori pada 11 Disember 2012 selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 3 Ogos 2015, Mahkamah Rayuan mengetepikan rayuan perayu terhadap sabitan dan mengekalkan keputusan sebelumnya.

Perayu membunuh Hiew Hiap Foh, 72, dan Chu Shuk Fong@Chu Ching Moi, 63, pada 13 September 2011 jam 10 malam hingga jam 10.50 malam, di sebuah rumah tidak bernombor, Beatrice Estate, Batu 1 1/2 , Sandakan.

Terdahulu, Farazwin berhujah bahawa hakim perbicaraan terkhilaf dalam undang-undang dan fakta, apabila membuat dapatan perayu mempunyai motif membunuh ibu bapanya.

Katanya, mahkamah rendah juga gagal mempertimbangkan keterangan saksi dan perayu adalah selari.

“Sewaktu kejadian perayu berada dalam keadaan tidak waras. Seminggu sebelum itu, saksi menyatakan tertuduh diganggu oleh sesuatu.

“Kakak perayu juga menyatakan, tertuduh diganggu sesuatu. Sebelum kejadian, perayu menjaga ibu bapanya dan berbual dengan kakaknya,” katanya.

Tambahnya, perayu tidak mempunyai motif membunuh kerana tidak mempunyai konflik atau berbalah dengan ibu bapanya.

“Menurut pegawai penyiasat, punca adalah kerana perayu mahu menjual rumah berkenaan, namun ibu bapanya tidak membenarkannya.

“Namun, bagaimana perayu ingin menjual rumah berkenaan sekiranya tidak mempunyai pembeli. Ini menunjukkan, tiada motif di sini,” katanya.

Membidas mengenai laporan perubatan, Timbalan Pendakwaraya Kwan Li Sa berkata, pegawai penyiasat menyatakan tidak ada sebab munasabah untuk menghantar perayu untuk pemerhatian mental.

“Hal ini kerana, semasa direman perayu tidak menunjukkan apa-apa masalah mental. Keterangan kakak perayu juga menyatakan, perayu dalam keadaan sedar ketika kejadian.

“Apabila mendengar ayahnya menjerit kesakitan, beliau (kakak perayu) terus pergi ke bilik dan melihat perayu menutup mulut mangsa. Mangsa menyuruhnya melarikan diri, namun rambutnya ditarik dan akhirnya ditikam perayu,” katanya.

Advertisement