Anda di sini

Nazri harus kota janji agih sama rata hasil kutipan cukai

Advertisement

KOTA KINABALU: Pemuda UPKO meminta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz mengotakan janji beliau sebelum ini untuk mengagih-agihkan secara sama rata hasil kutipan cukai hotel kepada Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Ketua Pemuda UPKO Arthur Sen berkata, pada laporan akhbar bertarikh 11 Jun Nazri memberitahu bahawa Sabah dan Sarawak akan menjadi penerima lebih banyak daripada cukai pelancongan kerana wang itu akan dibahagi sama rata mengikut wilayah (Semenanjung, Sabah dan Sarawak), bukan negeri kerana jika Perlis menerima jumlah yang sama seperti Sarawak ia adalah tidak adil.

“Pemuda UPKO terkejut apabila pengumuman hanya 10 peratus hasil kutipan cukai hotel di Sabah dipulangkan kepada negeri ini sedangkan sebelum ini beliau (Nazri) telah berjanji untuk mengagihkan secara sama rata hasil kutipan cukai hotel itu. Sebagai seorang menteri, beliau perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan supaya tidak mengelirukan rakyat.

“Oleh kerana sebelum ini timbul kekeliruan bahawa dakwaan persetujuan cukai ini juga disokong oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak sebagai justitifikasi persetujuan kerajaan negeri bagi Sabah dan Sarawak, maka Pemuda UPKO mohon mencadangkan agar definisi konsultasi haruslah jelas ditakrifkan.

“Kita mencadangkan takrifan konsultasi adalah merujuk kepada keputusan bersama antara kerajaan pusat serta negeri Sabah dan Sarawak melalui rundingan antara kerajaan khususnya sebarang keputusan berhubung dasar-dasar awam yang ada hubung kait dengan kepentingan kerajaan negeri,” katanya.

Arthur berkata, kerajaan persekutuan tidak boleh menganggap bahawa persetujuan ahli parlimen mahupun menteri persekutuan dari Sabah adalah melambangkan keputusan persetujuan kerajaan negeri Sabah.

“Cadangan agar definisi konsultasi haruslah jelas supaya rakyat tidak keliru dan dasar-dasar awam yang diputuskan juga sebenarnya telah mendapat persetujuan negeri-negeri terlibat.

“Ini merupakan sebahagian daripada intipati Perjanjian Malaysia 1963. Dengan kaedah demikian, banyak perkara dapat diputuskan dengan lebih baik tanpa kekeliruan,” katanya.

Menurutnya, Pemuda UPKO menyambut baik keputusan kerajaan untuk tidak mengenakan cukai hotel kepada warganegara Malaysia.

Katanya, ramai rakyat Sabah yang tinggal di pedalaman adalah dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Mereka sering ke pekan atau bandar kerana urusan penting yang memerlukan mereka berada di pekan atau bandar bagi urusan berkaitan kerajaan seperti permohonan tanah, persekolahan anak, sijil lahir, kad pengenalan dan sebagainya.

“Justeru, pengecualian cukai hotel ini dapat mengurangkan beban kos mereka,” katanya.

Advertisement