Anda di sini

JKKK bantu usaha kerajaan beri penjelasan kepada masyarakat

Advertisement
 Musa (dua kiri) dan Ismail (kiri) menyampaikan hadiah Anugerah Desa Perdana kepada johan pertandingan.
TAHNIAH: Musa (dua kiri) dan Ismail (kiri) menyampaikan hadiah Anugerah Desa Perdana kepada johan pertandingan.

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bertanggungjawab memberikan gambaran dan penjelasan kepada masyarakat kampung mengenai segala usaha yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, JKKK adalah pemimpin utama di peringkat akar umbi dan dengan adanya ilmu diperolehi daripada program Sijil Tadbir Urus Desa, sudah pasti dapat meningkatkan lagi nilai tambah kemajuan dalam kampung masing-masing.

“Dengan adanya ilmu baharu ini, para JKKK sudah tentu dapat menjalankan tugas secara sempurna, efisien dan teratur di kampung masing-masing.

“Saya menyeru agar KKLW boleh memberikan peluang kepada semua JKKK di Sabah bagi mengikuti program ini agar mampu meningkatkan ilmu masing-masing untuk kebaikan bersama,” katanya pada Program Sijil Tadbir Urus Desa JKKK Zon Sabah dan Penyampaian Anugerah Desa Perdana Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, di sini pada Isnin.

Katanya, JKKK perlu diberikan ilmu pengetahuan untuk menjalankan kerja secara efisien selain dapat melaksanakan tugasan dengan lebih baik.

Musa berkata, hubungan erat di antara kerajaan negeri dan Persekutuan khususnya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) adalah penting dalam usaha membangunkan infrastruktur luar bandar di Sabah.

Menurutnya, pertandingan Anugerah Desa Perdana adalah satu acara yang sangat menarik dan mampu membolehkan sesuatu kampung itu bertukar wajah menjadi lebih cantik, teratur dan maju.

“Pertandingan ini membolehkan kampung-kampung di kawasan luar bandar dan pedalaman terpelihara, maju dan mendapat perhatian daripada kerajaan persekutuan.

“Selain itu, anugerah itu juga boleh menjadi pemangkin kepada penduduk kampung untuk memajukan perkampungan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 500 pengerusi JKKK Sabah mengikuti program Sijil Tadbir Urus Desa Infra-UniKL yang diadakan selama tiga hari yang bermula pada Ahad.

Katanya, seramai 165 orang mewakili enam kampung yang bertanding dalam program Anugerah Desa Perdana Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 2017.

“Kampung yang menjuarai pertandingan ini di sini dan Labuan akan layak ke pertandingan peringkat kebangsaan yang mana majlis penganugerahan akan diadakan pada 22 Ogos ini di PWTC Kuala Lumpur.

“Program itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Dalam pertandingan itu, Kampung Merampong Keningau muncul johan sementara Kampung Sugiang Tengah Tenom di tempat kedua dan Kampung Seganga Lahat Datu ketiga.

Manakala, johan pertandingan di peringkat Labuan dimenangi oleh Kampung Layang-Layangan, Kampung Sungai Miri di tempat kedua dan Kampung Lubok Temiang ketiga.

Advertisement