Anda di sini

Bunuh pemandu teksi, hukuman gantung kekal

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan tenang mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin, apabila mengekalkan hukuman gantung atas kesalahan membunuh seorang pemandu teksi semasa melakukan rompak berkumpulan.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Wira Ahmad Haji Maarop dan tiga korum Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Dato Wira Aziah Ali sebulat suara membuat keputusan itu terhadap Joy Felix, 24.

Mahkamah berpendapat, tiada sebab mengganggu dapatan penghakiman mahkamah rendah, dengan itu sabitan terhadap perayu dikekalkan.

Pada 26 Mei 2014, Joy yang diwakili peguam Nelson Anggang dijatuhkan hukuman gantung mandatori, selepas didapati bersalah membunuh Chin Kin Fui.

Pada 8 September 2015, rayuan perayu atas sabitan dan hukuman turut diketepikan oleh Mahkamah Rayuan, selepas mendapati tiada kesilapan dalam penghakiman.

Kesalahan itu dilakukan pada 14 Mac 2012 jam 10.30 pagi di tepi jalan Padas Valley, Beaufort.

Atas kesalahan itu, perayu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Nelson menyatakan merujuk kepada bukti patologi, punca kematian disebabkan Asphyxia (kekurangan oksigen akibat masalah pernafasan), akibat tekanan di bahagian leher namun tiada bukti yang kukuh.

Bagaimanapun beliau tidak menyangkal, bahawa sebelum kematian mangsa, perayu dan rakan-rakannya bersubahat merompak mangsa yang berakhir dengan kematian.

Timbalan Pendakwaraya Mohd Hamzah Ismail bertindak untuk pendakwaan.

Advertisement