Anda di sini

Sosialis Venezuela umum Kongres baharu

Advertisement

Dewan Perlembagaan ditubuh setelah keputusan pilihan raya berpihak kepada Maduro

 Maduro (tengah) dan para penyokongnya bersorak-sorai meraikan keputusan Dewan Perlembagaan di Caracas, semalam. — Gambar AFP
MABUK KUASA: Maduro (tengah) dan para penyokongnya bersorak-sorai meraikan keputusan Dewan Perlembagaan di Caracas, semalam. — Gambar AFP

CARACAS: Parti pemerintahan Venezuela Parti Sosialis telah berikrar bahawa badan induk perundangan yang baharu dilantik akan mulai meluluskan draf undang-undang dengan segera selepas proses pengundian yang diboikot pembangkang dan dikecam kerajaan asing sebagai melanggar demokrasi.

Kira-kira 10 maut dalam protes kelmarin anjuran penentang presiden haluan kiri tidak popular Nicolas Maduro, yang menegaskan Dewan Perlembagaan yang baharu akan membawa keamanan selepas empat bulan protes yang telah meragut nyawa lebih 120 orang.

Pihak berkuasa pilihan raya negara CNE berkata, 8.1 juta pengundi keluar mengundi kelmarin namun pembangkang menganggarkan cuma 2.5 juta undi dibuang.

Pengkritik Maduro menggambarkan pilihan raya tersebut sebagai satu rampasan kuasa yang bertujuan menjamin kedudukannya di sebalik krisis ekonomi yang menyebabkan kebuluran dan menyebabkan rakyat bergelut untuk mendapatkan barangan asas dalam sebuah negara yang mempunyai populasi 30 juta.

Dewan Perlembagaan akan memulakan kerjanya dengan segera,” kata Diosdado Cabello, timbalan ketua Parti Sosialis, di hadapan rali pascapengundian di Caracas yang meriah dengan tarian dan nyanyian sebelum kemuncaknya pada waktu tenagh malam mengumumkan kiraan undi rasmi dan ucapan penuh bersemangat Maduro.

Selamat pagi Venezuela, kita sudah mempunyai Dewan Perlembagaan!” laung beliau.

Saya meminta rakan senegara untuk bergabung tenaga agar dewan ini boleh menjadi ruang untuk berdialog.”

Jabatan Luar Amerika Syarikat (AS) sementara itu berikrar akan mengambil tindakan tegas dan pantas ke atas ‘arkitek kuku besi’ yang menurut pegawai AS akan melibatkan sekatan ke atas sektor minyak.

Sekutu Sosialis memenangi kesemua 545 kerusi dalam dewan baharu itu yang mempunyai kuasa untuk menulis semula perlembagaan dan membubarkan institusi negara seperti Kongres yang kini dikuasai pembangkang, serta memecat pegawai yang menentang kerajaan.

Dewan Perlembagaan ini tidak akan menyelesaikan sebarang masalah negara, ia hanya memburukkannya.

Mulai esok, pentas baharu perjuangan bermula,” kata ketua pembangkang Henrique Capriles pada sidang akhbar lantas menyeru pusingan baharu protes pada tengah hari semalam.

Negara-negara Amerika Latin seperti Argentina dan Mexico, yang sentiasa berpihak dengan Washington dalam pertikaian wilayah, turut mengecam keras pengundian tersebut.

Ada di antaranya malahan enggan mengiktiraf keputusan pilihan raya itu, yang turut dikecam Sepanyol dan Kanada.

Cabello memberi petunjuk bahawa dewan tersebut akan menganjurkan sesi dalam istana perundangan sama seperti Kongres sedia ada yang dikuasai pembangkang susulan kemenangan besar pada 2015.

Mereka menghalau kita keluar dari pintu, kita masuk balik melalui tingkap.

Kita tidak akan menyerah, kita akan meneruskannya sehingga kita menang dan pada hari ini, kita merasai kejayaannya,” katanya pada sidang akhbar.

Pembangkang mengiktiraf referendum tidak rasmi mengenai pelan Maduro pada Julai di mana lebih tujuh juta pengundi sebulat suara menolak dewan tersebut dan menuntut penganjuran awal pilihan raya. — Reuters

Advertisement