Anda di sini

Ratusan korban banjir, kilat di India

Advertisement

Wilayah timur negara terjejas teruk sejak musim monsun bermula pada Jun lalu

 Gambar serahan Kementerian Pertahanan India kelmarin yang dirakam sehari sebelumnya menunjukkan mangsa banjir berkumpul di atas bumbung bangunan, termasuk seorang pesakit yang memerlukan dialisis buah pinggang, seperti yang dilihat dari atas helikopter Tentera Udara India (IAF) di kampung Abiyana, daerah Patan, 220 kilometer dari Ahmedabad. — Gambar AFP
TERJEJAS TERUK: Gambar serahan Kementerian Pertahanan India kelmarin yang dirakam sehari sebelumnya menunjukkan mangsa banjir berkumpul di atas bumbung bangunan, termasuk seorang pesakit yang memerlukan dialisis buah pinggang, seperti yang dilihat dari atas helikopter Tentera Udara India (IAF) di kampung Abiyana, daerah Patan, 220 kilometer dari Ahmedabad. — Gambar AFP

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya sebelas mati disambar kilat di timur India ketika sebahagian besar negara tersebut terjejas banjir terburuk dalam sejarah bertahun-tahun yang telah menyebabkan ratusan mati dan jutaan lagi hilang tempat tinggal, menurut pihak berkuasa semalam.

Kesemua mangsa sedang bekerja di ladang di negeri Odisha apabila disambar kilat, menurut pegawai kanan pengurusan bencana negeri.

Selain itu, 15 lagi mangsa cedera.

Angka kematian kemungkinan meningkat kerana ramai mangsa cedera parah,” kata ketua pihak berkuasa A.K. Das.

Negeri tersebut turut teruk terjejas banjir dan tiga lagi mayat ditemui di daerah Jajpur, menyaksikan angka kematian akibat banjir dalam tempoh 48 jam kini mencecah tujuh orang.

Hujan lebat turut mencetus-kan huru-hara di beberapa negeri lain, merosakkan jalan raya dan rangkaian bekalan elektrik, dengan hampir 700 kematian dilaporkan di seluruh negara.

Sehingga 20 negeri terjejas teruk dalam musim monsun semasa yang bermula pada Jun.

Di negeri barat Gujarat yang sudah berminggu-minggu banjir, 213 disahkan mati, menurut pengurusan bencana negeri.

Angka tersebut hampir dua kali ganda paras semasa pada hujung minggu dengan kira-kira 100 mayat ditemui selepas air mulai surut.

Suresh Kumar, pegawai kanan pengurusan bencana Bengal Barat, menjelaskan bahawa sekurang-kurangnya 31 kematian dilaporkan sepanjang seminggu banjir di negeri itu.

Peningkatan tersebut juga susulan penemuan 25 mayat termasuk milik 17 sekeluarga pada Rabu lalu oleh anggota penyelamat di dua kampung yang ditenggelami air di kawasan terjejas teruk Banas-kantha di daerah Gujarat.

Anggota penyelamat juga telah memindahkan hampir 130,000 penduduk dari kawasan rendah yang berbahaya ketika helikopter dan bot digunakan untuk mendapatkan mangsa yang masih terkandas.

Hujan lebat telah menyebabkan kerosakan besar-besaran di beberapa daerah,” jelas Kumar.

Banjir kilat dan tanah runtuh di negeri timur laut Arunachal Pradesh dan Assam sejak April lalu juga telah mengorbankan puluhan nyawa, manakala negeri timur Jharkhand dan Bihar juga terjejas teruk dengan hampir 140 kematian akibat disambar kilat di Bihar sejak Mei.

Perdana Menteri Narendra Modi, yang meninjau kemusnahan di Gujarat dari udara minggu lepas, berkata dalam ucapan di radio kelmarin bahawa bantuan asas telah disediakan.

Di Assam sahaja sekurang-kurangnya 77 kematian dilaporkan dan operasi bantuan kecemasan seluruh negeri telah dijalankan sejak April.

Puluhan ribu ekar tanaman juga musnah akibat banjir tersebut. — AFP

Advertisement