Anda di sini

Prestasi pengurusan projek pembentungan memuaskan

Advertisement

KOTA KINABALU: Prestasi pengurusan projek pembentungan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dari segi pencapaian fizikal dan kewangan, kajian kemungkinan, pelan induk sistem pembentungan, kajian kawasan pembentungan dan undang-undang berkaitan perancangan dan pembinaan adalah memuaskan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen semalam, prestasi pengurusan projek kemudahan awam berkenaan dari segi penggunaan çonstruction drawings, kadar  polisi insurans, kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS), lanjutan tempoh kontrak dan bayaran kemajuan juga adalah memuaskan.

Bagaimanapun, terdapat kelemahan yang ditemui seperti Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA) tidak dipatuhi bagi dua projek di mana laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar atau EMP lewat disediakan dan tidak lengkap. Proses pengusiran setinggan bagi satu projek yang lewat diselesaikan mengakibatkan projek lewat dimulakan dan lanjutan masa selama 92 hari diluluskan,” menurut laporan audit berkenaan.

Menurut laporan audit itu, kelemahan lain yang didapati dalam pengurusan projek pembentungan di Sabah termasuklah kontrak bagi tiga projek lewat ditandatangani antara 52 hingga 154 hari dan lanjutan masa sebanyak 380 hari dan 589 hari diluluskan untuk dua projek tanpa permohonan bertulis  daripada kontraktor.

Kelewatan antara 16 hingga 267 hari pembayaran interim bagi tiga projek, kerja pembinaan tidak berkualiti atau tidak mengikut spesifikasi di dua projek dan kemudahan ‘sludge drying bed’ dan pondok pengawal di Skim Pembentungan Kota Kinabalu Fasa 1 tidak digunakan, juga merupakan kelemahan yang ditemui dalam pengurusan projek pembentungan di negeri Sabah, menurut laporan audit berkenaan.

Justeru, laporan itu mengesyorkan JKR agar melaksanakan perancangan pelan pembangunan projek pembentungan dengan teliti dari segi pematuhan kepada kehendak Seksyen 34 (A) Akta Alam Sekeliling 1974 seperti EIA dan menyelesaikan proses pewartaan dan pengusiran setinggan sebelum projek dimulakan bagi mengelakkan tambahan masa yang melewatkan penyiapan projek.

Laporan berkenaan juga mengesyorkan agar JKR memastikan kontrak ditandatangani mengikut tempoh yang ditetapkan, lanjutan masa diluluskan dengan permohonan bertulis oleh pihak kontraktor serta mematuhi peraturan yang berkuat kuasa manakala bayaran interim dibuat mengikut tempoh ditetapkan bagi memastikan kepentingan kerajaan terpelihara.

JKR juga disyorkan oleh laporan audit berkenaan agar melaksanakan pemantauan dengan teliti bagi mengelakkan kualiti kerja yang tidak sempurna dan menggunakan kemudahan loji rawatan kumbahan secara optimum. — Bernama

Advertisement