Anda di sini

Penyata kewangan beri gambaran benar

Advertisement

Rekod perakaunan k’jaan persekutuan turut diselenggara dengan teratur dan kemas kini

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara 2016 mengesahkan bahawa secara keseluruhannya Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun berakhir 31 Dis, 2016 telah menunjukkan gambaran yang benar dan saksama mengenai kedudukan kewangan kerajaan.

Berdasarkan inti sari laporan itu, rekod perakaunan turut telah diselenggara dengan teratur dan kemas kini.

Bagi prestasi kewangan secara menyeluruh, pada 2016, kerajaan Persekutuan (kerajaan) memperoleh hasil berjumlah RM212.421 bilion iaitu berkurangan RM6.668 bilion (3.0 peratus) berbanding 2015 yang berjumlah RM219.089 bilion.

Perbendaharaan Malaysia telah mengeluarkan Waran Am Bil. 1 Tahun 2016 bagi tujuan perbelanjaan mengurus berjumlah RM215.224 bilion. Peruntukan ini telah ditambah RM2.279 bilion melalui peruntukan khas berjumlah RM1.446 bilion dan pendahuluan daripada Kumpulan Wang Luar Jangka yang berjumlah RM0.833 bilion,” menurut laporan itu yang dibentangkan di Parlimen semalam.

Perbendaharaan Malaysia juga telah mengeluarkan waran penyekatan peruntukan berjumlah RM5.203 bilion.

Oleh itu, laporan itu berkata, peruntukan muktamad untuk perbelanjaan mengurus bagi 2016 adalah berjumlah RM212.300 bilion dan sejumlah RM210.173 bilion (99.0 peratus) daripada jumlah peruntukan tersebut telah dibelanjakan.

Laporan itu juga berkata, bagi perbelanjaan pembangunan, secara keseluruhannya kementerian/jabatan persekutuan telah membelanjakan sejumlah RM41.995 bilion (97.7 peratus) daripada peruntukan yang diluluskan yang berjumlah RM43.003 bilion.

Kerajaan mengalami defisit berjumlah RM38.400 bilion dengan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada paras 3.12 peratus.

Defisit tersebut ditampung dengan pinjaman dalam negeri dan luar negeri yang berjumlah RM99.859 bilion. Selain daripada membiayai perbelanjaan pembangunan, pinjaman ini juga digunakan untuk membayar balik hutang dan membiayai Kumpulan Wang Pinjaman Perumahan,” menurut laporan tersebut.

Selain itu juga, pengauditan pengurusan kewangan yang dijalankan di kementerian, jabatan persekutuan dan badan berkanun persekutuan mendapati prestasi pengurusan kewangan di peringkat kementerian pada keseluruhannya menunjukkan peningkatan bagi 2016 berbanding dua tahun sebelumnya.

Pada 2016, semua 25 kementerian mencapai tahap cemerlang berbanding 16 dan 20 daripada 25 kementerian pada 2015, dan 24 kementerian pada 2014.

Prestasi pengurusan kewangan di jabatan persekutuuan yang diaudit secara tahunan pula menunjukkan peningkatan di mana 16 jabatan telah mencapai tahap cemerlang dan dua di tahap baik.

Bagi prestasi pengurusan kewangan badan berkanun persekutuan yang diaudit secara pusingan tiga tahun sekali menunjukkan 16 berada pada tahap cemerlang, 19 pada tahap baik dan tiga pada tahap memuaskan.

Pengauditan pengurusan kewangan yang dijalankan di kementerian, jabatan persekutuan dan badan berkanun persekutuan itu bertujuan menilai sama ada pengurusan kewangan mereka telah mematuhi undang-undang dan peraturan kewangan yang berkaitan.

Menurut laporan itu, Jabatan Audit Negara telah menjalankan pengauditan pengurusan kewangan di 25 kementerian,18 jabatan persekutuan yang diaudit secara tahunan dan 38 badan berkanun persekutuan yang diaudit secara pusingan tiga tahun.

Pengauditan juga telah dijalankan di Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Ibu Pejabat dan 15 JBS Negeri serta 13 Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial Negeri di seluruh negara, menurut laporan itu.

Selain itu, pengauditan juga dijalankan di enam pejabat perwakilan Malaysia di luar negara di bawah Kementerian Luar Negeri dan tujuh Pejabat Perwakilan Badan Berkanun Persekutuan di luar negara.

Selain daripada menjalankan pengauditan bagi memenuhi kehendak undang-undang, Jabatan Audit Negara telah melaksanakan penilaian khas terhadap prestasi pengurusan kewangan Kementerian/Jabatan/Agensi di bawah kawalan Ketua Jabatan yang memegang Jawatan Utama Sektor Awam yang melibatkan 63 Ketua Jabatan. — Bernama

Advertisement