Anda di sini

Lelaki kurang siuman dibelasah teruk

Advertisement
 Rakaman video berdurasi 37 saat memaparkan kejadian mangsa dipukul menjadi tular di laman sosial.
DIBELASAH: Rakaman video berdurasi 37 saat memaparkan kejadian mangsa dipukul menjadi tular di laman sosial.

KOTA KINABALU: Gara-gara tindakannya yang sering mengganggu orang awam, seorang lelaki dipercayai kurang siuman menjadi mangsa dibelasah sekumpulan lelaki.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang pada Jumaat itu, video rakaman mangsa dipukul sekumpulan lelaki menjadi tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M.Chandra berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan memasuki pusat beli-belah di sini tetapi dihalau keluar oleh pengawal keselamatan.

Menurutnya, tindakan pengawal berkenaan disebabkan oleh kelakuan mangsa yang selalu membuat kacau di dalam kawasan pusat beli-belah itu.

Selepas dihalau, mangsa kemudiannya menuju ke kawasan pasar dan cuba mengambil sebuah telefon bimbit milik seorang pekerja di pasar berkenaan.

Sebaik menyedari kejadian itu, pekerja terbabit mengejar mangsa. Pada masa sama, mangsa cuba melawan sambil mengacukan sebilah gunting kepada pekerja berkenaan,” katanya di sini pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa yang dikejar dapat ditahan sebelum dibelasah beberapa lelaki di kawasan parkir teksi pusat beli-belah itu.

Chandra berkata, beberapa pemandu teksi yang menyaksikan kejadian itu tidak melihat sebarang senjata seperti gunting dibawa mangsa.

Kumpulan lelaki terbabit memukul mangsa menggunakan kayu dan batang besi hingga menyebabkan mangsa cedera di bahagian kepala.

Mangsa juga dilihat segera beredar dari kawasan itu menuju ke Bulatan Todak. Bagaimanapun, mangsa gagal dikesan di kawasan berkenaan,” jelasnya.

Pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu dan mengarahkan pihak keselamatan pusat beli-belah berkenaan membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Advertisement