Anda di sini

Tiga penjawat awam ditahan kerana meminta wang rasuah

Advertisement

BEAUFORT: Tiga penjawat awam termasuk penolong pegawai ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah pejabat kementerian Cawangan Beaufort kira-kira jam 12 tengah hari pada Khamis.

Pengarah SPRM Sabah Datuk Sazali Salbi berkata, sepasukan anggotanya melakukan tangkapan terhadap suspek selepas menerima aduan berkenaan kes terbabit.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 14 Julai lalu apabila suspek meminta wang daripada pemilik sebuah kedai di sini.

“Dalam kejadian kira -kira jam 12.30 tengah hari itu, ketiga-tiga suspek yang sedang bertugas memasuki kedai pengadu bagi membuat pemeriksaan barangan.

“Hasil pemeriksaan suspek terhadap barangan di kedai mendapati pengadu melakukan kesalahan pada tanda harga dan akat timbang,” katanya.

Beliau berkata, suspek kemudiannya meminta wang sebanyak RM600 sebagai jaminan agar pengadu tidak dikenakan kompaun mengikut Seksyen 10 Akta Kawalan Harga dan Pencatuan 2011.

Menurutnya, pengadu kemudiannya membuat aduan berkenaan kejadian kepada pihak SPRM pada 19 Julai untuk tindakan terhadap suspek.

“Bertindak daripada maklumat, sepasukan anggota SPRM menyerbu pejabat suspek sebelum menahan kesemua suspek yang dipercayai terbabit dalam kes ini.

“Ketiga-tiga suspek akan disiasat mengikut seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan permohonan reman akan dilakukan terhadap suspek bagi membantu siasatan,” katanya.

Advertisement