Anda di sini

Penduduk harungi perjalanan sukar akibat runtuhan jalan

Advertisement

KOTA MARUDU: Jalan raya runtuh antara Kampung Tagibang dan Kampung Gana di sini akibat hujan lebat sejak kira-kira seminggu lalu memaksa penduduk dan warga sekolah mengharungi perjalanan sukar ke pekan.

Pengerusi JKKK Kampung (Kg) Tagibang Edin Darimbang berkata, pihaknya telah memaklumkan masalah itu kepada pejabat daerah dan pejabat wakil rakyat dan difahamkan satu mesyuarat tindakan daerah berkaitan bencana alam telah diadakan pada Rabu.

“Kira-kira 500 pengguna jalan terjejas oleh bencana jalan raya terputus antara Kg Tagibang dan Kg Gana itu,” kata Edin kepada pemberita bebas, Benjohn Simbaku.

Menurut Edin, turut terjejas ialah 14 guru SK Tagibang dan pelajar yang bersekolah di SMK Bandau, SMK Kota Marudu, SMK Kota Marudu II.

Edin menjelaskan, pergerakan penduduk terjejas untuk mendapatkan keperluan harian di pekan termasuk berurusan dengan jabatan-jabatan berkaitan.

“Kami berharap pihak wakil rakyat termasuk Jabatan Kerja Raya dapat mengambil langkah alternatif untuk mengatasi hubungan terputus oleh runtuhan jalan raya itu,” kata Edin.

Edin menambah, bencana itu turut menjejaskan pesakit mendapat rawatan termasuk ibu-ibu mengandung untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

Edin memaklumkan jalan alternatif Nawanon ke Pekan Ranau juga daif dengan laluan menyeberang sungai rosak beserta jambatan gantung Sungai Kopuakan yang hanya boleh dilalui kenderaan dua roda.

Edin menceritakan, suatu masa dahulu perkampungan berkenaan mendapat khidmat doktor udara tapi sejak ditamatkan, jalan itulah satu-satunya laluan mereka mendapatkan rawatan.

Advertisement