Anda di sini

Latihan Perang Borneo tingkatkan kesiapsiagaan

Advertisement

KOTA KINABALU: Latihan Perang Borneo yang dilaksanakan secara bersiri oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) mampu melipatgandakan lagi tahap kesiapsiagaan, kecekapan dan tahap profesionalisme anggota dan aset di bawah naungan markas itu.

Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob berkata latihan berkenaan yang diadakan sebanyak enam kali setahun itu mampu mengukur dan memastikan tahap kecekapan semua anggota dan aset berada dalam keadaan yang baik serta bersiap sedia berhadapan dengan peperangan sebenar.

“Dalam latihan itu kita akan melihat keupayaan anggota dan aset untuk menghadapi pelbagai ancaman dan daripada latihan itu kita dapat mengetahui di mana kelemahan yang perlu kita perbaiki.

“Semakin kerap kita melakukan latihan ini, semakin tinggi tahap keupayaan dan kesiapsiagaan kerana kita tidak mahu ada satu pun kelemahan yang boleh mencacatkan operasi dalam situasi getir yang sebenar,”  katanya kepada pemberita selepas tamat latihan Perang Borneo Siri 2/2017 di sini semalam.

Abdul Rahman berkata latihan Perang Borneo merupakan kaedah latihan paling berkesan sebagai persediaan menghadapi situasi perang seiring dengan keperluan semasa.

Mengenai latihan Perang Borneo Siri 2/2017 itu, beliau berkata ia melibatkan tiga kapal TLDM iaitu KD Kedah, KD Jerung, dan KD Ganas bersama kira-kira 200 pegawai dan anggota mengadakan latihan selama 24 jam bermula jam 6 pagi semalam di sekitar perairan Kota Kinabalu dan Mangalum.

“Secara keseluruhan, latihan ini amat memuaskan dan berakhir tanpa sebarang masalah. Tentu sekali selama latihan ini ada beberapa kelemahan yang perlu kita perbaiki. Oleh itu, kita akan mengadakan latihan seperti ini dengan lebih kerap lagi.

“Selepas latihan ini kita akan mengadakan dua lagi latihan pada bulan Oktober nanti dan lokasi latihan itu akan dibuat sama ada di perairan Kota Kinabalu atau di perairan pantai timur Sabah,”  katanya.

Abdul Rahman berkata antara latihan yang dilakukan ialah Penembakan Meriam oleh KD Kedah, KD Jerung, dan KD Ganas.

“Selain itu, kita telah mengadakan latihan laluan bebas periuk api serta latihan mencegah kerosakan akibat peperangan dan latihan itu telah disusun atur sebelum latihan bermula.

“Namun saya juga akan memberi beberapa ujian yang akan dilaksanakan serta-merta pada bila-bila masa ketika latihan itu, seperti latihan kebakaran dan sebagainya bagi meningkatkan kemahiran para anggota yang terlibat,”  katanya. — Bernama

Advertisement