Anda di sini

Jenamakan semula Sabah sebagai destinasi selaman makro: MOTAC

Advertisement
 1Voluntourism Penanaman Tukun Tiruan di Pulau Bum Bum.
SUKARELAWAN: Ahmad Zaki (dua kanan) bergambar bersama peserta dan sukarelawan yang menyertai Program End in Sipadan: 1Voluntourism Penanaman Tukun Tiruan di Pulau Bum Bum.

SEMPORNA: Melihat Sabah berpotensi besar untuk dijadikan destinasi selaman makro (macro/muck diving), satu program penanaman tukun tiruan dilaksanakan di sini bermula 25 hingga 28 Julai.

Aktiviti di bawah Program ‘End in Sipadan:1Voluntourism Penanaman Tukun Tiruan di Pulau Bum Bum’ ini dilakukan di destinasi yang mempunyai kepadatan hidupan marin makro yang masih belum diterokai.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) Sabah Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berkata kawasan yang menempatkan banyak hidupan marin makro ini amat sesuai untuk melakukan proses dokumentasi (profiling) hidupan berkenaan.

Walaupun ‘muck diving’ ini sudah lama ada di negeri ini namun, pendedahan dan kesedaran untuk melakukan aktiviti muck diving masih lagi kurang.

“Ini masa yang paling tepat untuk kita memberi fokus menjenamakan semula Sabah sebagai destinasi selaman makro.

“Kita sudah ketinggalan dalam aspek menjenamakan semula negeri kita sebagai muck diving jika dibandingkan dengan negara jiran lain seperti Indonesia dan Filipina.

“Atas sebab itu, dalam projek kali ini kita membawa jurugambar tempatan untuk merakam video dan mengambil gambar supaya dapat mempromosikan Sabah sebagai destinasi muck diving,” katanya dalam Sidang Media sempena Program ‘End in Sipadan: 1Voluntourism Penanaman Tukun Tiruan di Pulau Bum Bum, di sini pada Khamis.

Program berkenaan bermula pada Selasa hingga Jumaat dengan penglibatan 30 peserta termasuk sukarelawan.

Program itu dilaksanakan dengan kerjasama MOTAC, Persatuan Backpackers Sabah (SBA) yang diwakili Presidennya Richie Lee, Pemilik ND Divers Anuar Ismail dan jurutera projek Octavius @ Dares Asaad.

Ahmad Zaki berkata penanaman tukun tiruan kali ini adalah kesinambungan program yang dilaksanakan di Pulau Mari Mari Sepanggar pada April lalu.

Katanya, rekaan yang digunakan di Sepanggar ditambah baik dan kali ini, mereka menggunakan rekaan tukun tradisional ‘Payau’.

Rekaan ini melibatkan penggunaan tali yang akan mengikat beberapa elemen untuk digabungkan bersama blok batu bata yang telah digam menggunakan campuran lumpur bakau dan simen.

Untuk kali ini, elemen yang digunakan adalah bahan bakau, daun kelapa dan nipah.

“Rekaan Payau ini terbukti berkesan dan mudah menarik hidupan laut dalam tempoh yang singkat. Dijangka tukun tiruan yang dibina sedalam 14 meter ini mampu memperlihatkan hasil dalam tempoh dua bulan,” katanya.

Advertisement