Anda di sini

14 rumah penduduk terjejas ribut terburuk landa semporna

Advertisement
 Atap di salah sebuah kediaman penduduk didapati turut terjejas akibat angin ribut yang melanda.
MALAPETAKA: Atap di salah sebuah kediaman penduduk didapati turut terjejas akibat angin ribut yang melanda.

SEMPORNA: Fenomena angin ribut pada awal pagi Rabu disifatkan sebagai terburuk pernah melanda daerah ini dan menyaksikan 14 rumah penduduk terjejas, termasuk fasiliti awam seperti balai raya dan tandas.

Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Semporna Dr Chacho Bulah berkata insiden berkenaan dilaporkan berlaku kira-kira jam 4 pagi.

Antara terjejas, sembilan rumah penempatan sementara di Kampung Bangau-Bangau, lima rumah dan tandas kegunaan 10 blok orang kampung di Kg Air dan balai raya di Kg Gading-Gading.

Kesemua mangsa yang terjejas juga sudah dikenal pasti hasil daripada tinjauan dan lawatan yang dijalankan di ketiga-tiga kawasan penempatan terlibat,” katanya.

Ketua-ketua isi rumah yang direkodkan, Hassim Wanning, Samsul Taupah, Nurpiah Mohd Kok, Sitti Natirah Abu Rakib, Sabdalam Ayab dan Abd Rakib Mohd.

Turut tersenarai, Atik Tumpang, Farade Danes, Abdullah Madisa, Emmah Pundding, Nelda Pundding, Yusmin Yusuff, ALian Pundding dan Sitti Zainab Mansor.

Chacho berkata Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Semporna sudah diadakan dan beberapa langkah yang bersesuaian sudah dikenal pasti pihaknya.

Antaranya, meminta mangsa membuat laporan polis, meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat memberikan bantuan makanan dan menyediakan dewan untuk mangsa.

Kita juga mendapatkan bantuan alat-alat rumah seperti zink kerana ada atap rumah mangsa yang diterbangkan oleh angin ribut,” katanya.

Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri Bugaya Datuk Ramlee Marhaban juga sudah dimaklumkan kerana hampir keseluruhan kawasan terjejas berada di kawasan pemimpin itu.

Berdasarkan maklum balas yang diterima pihaknya, wakil rakyat berkenaan juga akan segera menghulurkan bantuan awal kepada mangsa terjejas akibat fenomena itu.

Advertisement