Anda di sini

Pengguna perlu jelas khasiat kandungan susu sebenar

Advertisement

KENINGAU: Ramai rakyat Malaysia tidak faham mengenai kandungan susu yang berkhasiat sehingga menyebabkan anak-anak mereka terdedah kepada pelbagai risiko yang membantutkan kecergasan otak dan tumbesaran.

Jutawan tenusu negeri ini Datuk Yap Yun Fook berkata, penerangan jelas mengenai kaedah penyediaan makanan dan minuman yang praktikal kepada masyarakat, khususnya kanak-kanak adalah sangat penting.

Proses pembesaran kanak-kanak yang meminum susu rendah lemak tidak seimbang, selain daya pemikiran mereka tidak cergas. Susu rendah lemak disediakan melalui pengasingan protein dan kalsium yang sepatutnya sangat perlu kepada mereka yang sedang membesar.

Kanak-kanak yang membesar memerlukan protein untuk tubuh badan, otak dan darah…jika tidak ada protein, manusia tidak ada darah,” katanya.

Beliau yang juga pemilik syarikat Yun Fook Resources berkata demikian kepada Bernama, selepas menyampaikan taklimat kepada 98 pengetua dan guru besar yang melawat ladang milik kilang tersebut di sini, kelmarin.

Yap juga menasihatkan agar orang ramai tidak mudah terperdaya dengan pelbagai iklan yang menyebabkan mereka mudah tertipu dan menjadi mangsa.

Mengenai lawatan kerja Pengetua dan Guru-Guru Besar ke ladang itu, beliau berkata, ia bertujuan memberi pendedahan kepada pengurusan sekolah mengenai pemakanan khususnya pengambilan minuman susu yang tepat kepada pelajar.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Keningau Masly Wahip yang mengetuai lawatan itu berkata, pengalaman pelbagai bidang yang dimiliki  jutawan itu sangat penting kepada guru-guru sebagai bahan pengajaran tambahan di sekolah masing-masing.

Ini satu perkongsian yang sangat berharga dan saya berharap kesemua pengetua dan guru besar yang menyertai lawatan ini dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehi,” katanya.  

Ladang Ternakan Yun Fook Resources Sdn Bhd mengeluarkan 3 juta liter susu segar setahun dan kepakarannya mengeluarkan susu segar berkualiti diakui kerajaan Malaysia. — Bernama

Advertisement