KOTA KINABALU: Selepas tempoh seminggu berakhir kelmarin, hanya 24 pemandu pelancong yang terlibat dalam perhimpunan atau demonstrasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) tampil memberi keterangan.
Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) Sabah Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, hanya 24 orang sahaja pemandu pelancong yang tampil memberi keterangan pada 15 Julai.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberikan maklumat lanjut mengenai perkara berkenaan kerana MOTAC Sabah akan mengadakan mesyuarat di ibu pejabat mereka pada hujung minggu ini mengenai tindakan selanjutnya.
Beliau hanya akan memberi kenyataan lanjut selepas mesyuarat diadakan di ibu pejabat MOTAC.
MOTAC Sabah sebelum ini memberi arahan kepada pemandu pelancong yang terlibat dengan perhimpunan di LTAKK untuk memberi kenyataan dan tunjuk sebab di Pejabat Motac selewat-lewatnya pada 25 Julai.
Pada sidang media baru-baru ini, Ahmad Zaki memberi amaran bahawa pembatalan lesen boleh dikenakan terhadap pemandu pelancong yang terlibat dengan perhimpunan, sekiranya mereka tidak mempunyai alasan kukuh.
Pada tengah malam 15 Julai, 40 pemandu pelancong membuat perhimpunan di LTAKK apabila mendakwa sebuah syarikat pelancongan terlibat dengan pemandu pelancong tidak berlesen yang berasal dari China.
Insiden itu menyebabkan dua daripada tiga pemandu pelancong berlesen terpaksa meninggalkan LTAKK dan membiarkan sekumpulan pelancong dari China terkandas di lapangan terbang hampir dua jam.
Selepas siasatan dijalankan, Motac mendapati tiada kes pemandu pelancong tidak berlesen terlibat dengan syarikat pelancongan seperti yang didakwa.