Anda di sini

DFTZ dan NeSR akan tingkatkan sumbangan e-Dagang kepada KDNK

Advertisement

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan dengan pelancaran inisiatif Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dan Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan (NeSR), akan meningkatkan sumbangan e-Dagang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. 

Beliau berkata dengan dua inisiatif itu, ditambah dengan usaha memacu agenda ekonomi digital kebangsaan, sumbangan e-Dagang kepada KDNK dijangka mencecah sembilan hingga 10 peratus menjelang 2020. 

e-Dagang akan memberi sumbangan ketara kepada ekonomi digital kita. Pada 2015, bahagiannya daripada KDNK negara ialah sekitar 5.4 peratus, dan sekiranya kita tidak melakukan apa-apa atau  segalanya sama seperti biasa, ia mungkin hanya mencecah 6.4 peratus menjelang 2020,” katanya kepada pemberita di luar acara Forum e-Dagang Kebangsaan anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri  (MITI), di sini, semalam.

Mustapa yang juga Pengerusi Majlis e-Dagang Kebangsaan berkata, majlis itu mengadakan pelbagai aktiviti dan acara untuk menerajui pembangunan e-Dagang di Malaysia, yang bertujuan menggandakan pertumbuhannya daripada 11 peratus kepada 20 peratus menjelang 2020. 

Forum e-Dagang Kebangsaan itu dihadiri lebih 1,000 peserta dengan 50 pempamer daripada pelbagai segmen e-Dagang termasuk e-Pasaran (seperti Lazada dan AgroBazaar Online); penyelesaian pembayaran  (MOLPay dan IPay88); penyedia logistik (Pos Malaysia, GDEX dan SkyNet); penyedia penyelesaian (Webshaper dan Sitegiant); Dewan Perniagaan dan persatuan; serta penjual dalam talian termasuk daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Forum setengah hari itu yang bertemakan ‘Menguasai Transformasi Digital’,  mengetengahkan usaha kerajaan untuk memaklumkan kepada pemain e-Dagang dalam seluruh rantaian nilai, terutamanya PKS, mengenai kepentingan mengguna pakai pendigitalan bagi mengekalkan perniagaan mereka dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.   

Terdahulu, Mustapa dalam ucapan alu-aluannya  berkata pembangunan PKS akan terus menjadi bidang tumpuan utama di bawah agenda transformasi digital kerajaan. 

Beliau berkata inisiatif DFTZ akan menumpukan kepada menyediakan platform canggih kepada PKS dan perusahaan untuk menjalankan perniagaan dan perkhidmatan mereka. 

Ini harapnya akan dapat membantu menghapus sebarang kebimbangan atau kesangsian yang zon perdagangan itu hanya akan memberi manfaat kepada pemain asing dan menggalakkan kemasukan lebih banyak produk import.

Sebaliknya, DFTZ sebenarnya akan menumpu untuk membantu PKS kita menembusi pasaran eksport dan menambah baik kecekapan rentas sempadan kita,” katanya.  

Pada majlis itu, Mustapa juga melancarkan platform dalam talian ‘Go eCommerce’, pusat dalam talian sumber perniagaan sehenti khusus bagi membimbing PKS mengguna pakai e-Dagang. 

Platform itu, yang boleh dilayari di www.GoeCommerce.my, ketika ini mempunyai lebih 70 kursus dalam talian dan dijangka meningkat kepada sekurang-kurangnya 200 kursus menjelang akhir 2017.

Sehingga hari ini, lebih 1,100 PKS yang berminat telah mendaftar dengan GoeCommerce, dan saya yakin bilangan itu akan meningkat dengan ketara dalam beberapa hari lagi,” kata Mustapa yang juga menghadiri sesi menyumbang idea kedua yang dianjurkan oleh MITI dan Perbadanan Digital Malaysia di forum bagi  syarikat pemula niaga dan syarikat teknologi pesat berkembang e-Dagang. 

Sesi itu membolehkan syarikat pemula niaga dan syarikat teknologi pesat berkembang menyumbang secara langsung idea perniagaan mereka bagi tujuan mendapatkan pembiayaan modal daripada syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, Menteri Kewangan Diperbadankan dan pemodal teroka. 

Mengulas mengenai pelancaran Pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) Bursa Malaysia Berhad semalam, Mustapa berkata ia merupakan satu lagi inisiatif terbaik daripada kerajaan untuk menyediakan platform alternatif kepada PKS bagi mengumpul modal dan perkhidmatan latihan serta bimbingan daripada penasihat LEAP akan memastikan perancangan lebih banyak penyenaraian PKS di negara ini. — Bernama

Advertisement