Anda di sini

Banyak syarikat tidak manfaat dana MSBDF

Advertisement

Dana galak perniagaan dari M’sia dan S’pura bekerjasama, kenal pasti peluang perniagaan

 Raphy (kanan berdiri), Loh (duduk, dua kanan), Abdul Kadir (berdiri, dua kanan) dan Osmirizan (berdiri kiri) berbincang sesuatu ketika perjumpaan DPMMNJ, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Johor Bahru (JBCCCI), Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Johor (JICCI) dengan SMCCI, Johor Bahru, semalam. — Gambar Bernama
PERBINCANGAN: Raphy (kanan berdiri), Loh (duduk, dua kanan), Abdul Kadir (berdiri, dua kanan) dan Osmirizan (berdiri kiri) berbincang sesuatu ketika perjumpaan DPMMNJ, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Johor Bahru (JBCCCI), Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Johor (JICCI) dengan SMCCI, Johor Bahru, semalam. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Banyak syarikat yang berpangkalan di Malaysia dan Singapura tidak memanfaatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura (MSBDF) untuk mengembangkan perniagaan mereka, kata Pengarah Pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Wilayah Selatan, Raphy Md Radzi.

Beliau berkata, dana yang diwujudkan sejak Julai 2004 itu kini berjumlah RM3.2 juta.

Pada peringkat awalnya, ia mempunyai peruntukan RM2.5 juta, ditadbir bersama oleh International Enterprise Singapore (IE Singapore) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dari Julai 2004 hingga 24 Mei 2012, sebelum peranan MIDA diambil alih oleh MATRADE.

Dana itu bertujuan menggalakkan perniagaan dari Malaysia dan Singapura bekerjasama dan mengenal pasti peluang perniagaan dan pelaburan di negara ketiga,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program usaha sama Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura di sini, semalam.

Raphy berkata, dana berkenaan dikhususkan kepada syarikat yang terlibat dalam enam sektor iaitu pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, perdagangan, pelancongan dan teknologi maklumat.

Menurutnya, ia boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan misi, penyelidikan pasaran dan kajian daya maju bersama.

Bagi misi bersama, dana itu terbuka kepada persatuan perniagaan dan perusahaan untuk mencari peluang perniagaan dan pelaburan di negara ketiga, di mana mereka boleh memohon dana sehingga RM200,000 yang boleh menampung antaranya kos perjalanan, penginapan, logistik dan publisiti.

Bagi penyelidikan pasaran bersama, Raphy berkata, ia perlu terlibat sekurang-kurangnya satu persatuan perniagaan dari setiap negara untuk menganalisis persekitaran perniagaan, potensi strategi pasaran atau peluang perniagaan bagi pasaran atau industri tertentu.

Katanya bagi tujuan itu, mereka boleh memanfaatkan sehingga RM100,000 yang boleh menampung kos perjalanan dan bayaran perunding.

Bagi tujuan kajian daya maju bersama, katanya, syarikat perlu mengenal pasti projek atau syarikat tertentu dan melibatkan perunding untuk menjalankan penyelidikan ke atas potensi perniagaan selain melaksanakan carian umum mengenai peluang pelaburan di negara ketiga.

Mereka juga boleh menghubungi MATRADE untuk mendapatkan maklumat atau sebarang bantuan perniagaan di luar negara kerana kita mempunyai 46 cawangan luar negara yang boleh membantu mengenal pasti pasaran, permintaan dan potensi perniagaan,” jelasnya.

Mereka yang berminat boleh menghubungi pejabat MATRADE yang berhampiran atau Pejabat MATRADE Wilayah Selatan di talian 07-2229400. — Bernama

Advertisement