Anda di sini

Wanita Jepun mati akibat virus kutu

Advertisement

TOKYO: Seorang wanita Jepun mati akibat virus bawaan kutu selepas digigit seekor kucing terbiar dalam apa yang dipercayai transmisi pertama di dunia penyakit itu daripada haiwan kepada manusia.

Mangsa, 50-an, mati kira-kira 10 hari selepas digigit kucing itu tahun lepas setelah membawa haiwan itu ke hospital veterinari.

Pihak berkuasa sejak itu mengesahkan mangsa dijangkiti SFTS, sejenis penyakit yang dipindahkan melalui gigitan sejenis kutu pembawa virus.

Jangkitan manusia kepada manusia virus kutu itu melalui hubungan darah pernah dilaporkan, tetapi pegawai kementerian percaya kematian wanita terbabit mungkin kes pertama kematian manusia akibat gigitan haiwan yang dijangkiti.

Seorang lagi pegawai berkata, tiada petanda wanita itu telah digigit kutu.

SFTS atau demam teruk dengan sindrom ‘thrombositopenia’ yang mencetuskan simptom seperti demam teruk, muntah-muntah dan cirit-birit.

Di Jepun, kira-kira 60 kes jangkitan dilaporkan setiap tahun akibat penyakit tersebut daripada gigitan kutu dengan kadar kematian kira-kira 20 peratus, menurut kementerian.

Setakat ini belum ada ubat pencegahan atau vaksin untuk penyakit tersebut.

“Apa yang ada hanyalah terapi simptom seperti menangani demam atau cirit-birit.

“Justeru cara terbaik mengelak jangkitan adalah untuk tidak digigit kutu,” menurut seorang pegawai kementerian. — AFP

Advertisement